Zamri Hassan bangga dengan pemainnya walaupun KL Rovers FC tewas final Liga M3

528

Ketua jurulatih KL Rovers FC, Zamri Hassan bangga dan berpuas hati dengan aksi pemain-pemainnya walaupun mereka tewas di tangan PIB FC pada perlawanan akhir Liga M3 malam tadi.

Menurut Zamri, pasukannya memberi lebih 15 peluang untuk menjaringkan gol namun gagal memanfaatkan peluang itu dan terpaksa akur dengan kekalahan.


“Saya bersyukur dapat menjadi naib juara Liga M3. Kalau kita tengok perlawanan tadi KL Rovers lebih mendominasi perlawanan dan kita mempunyai 15 peluang di hadapan gol tapi mereka gagal menyudahkannya.

Apa-apa pun saya berpuas hati kerana kita tewas di penentuan sepakan penalti, memang tak ada rezeki kita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Zamri turut mengakui beliau terpaksa melakukan sedikit perubahan taktikal selepas dua tonggak utamanya tidak dapat diturunkan akibat digantung.

Beliau gembira apabila segala percaturan dan arahan yang diberikan berjaya diterjemahkan oleh pemain di atas padang.

Dalam pada itu, kapten pasukan Hisyamudin Mohamad Sha’ari terpaksa akur apabila pasukannya gagal untuk menjulang trofi Liga M3.

Beliau bagaimanapun tidak ralat sebaliknya berbangga dengan rakan sepasukan yang telah mempamerkan aksi yang cukup menarik sepanjang perlawanan.

“Inilah final, macam-macam boleh berlaku. Walaupun kita menguasai keseluruhan permainan tapi kalau tak diizinkan Allah tak akan dapat juga. Tapi saya sangat bangga dengan rakan sepasukan yang memberikan 100 peratus di atas padang.”

Dalam perlawanan akhir Liga M3 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur malam tadi, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang cukup menarik dengan saling berbalas serangan.

Perlawanan bagaimanapun terpaksa diheret ke masa tambahan apabila terikat 1-1 selepas 90 minit permainan.

Tambahan masa 30 minit juga tidak dapat menentukan pemenang dan akhirnya terpaksa dibawa ke penentuan sepakan penalti yang mana PIB berjaya menang 5-3.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen