Tak mudah menyerah kalah jadi faktor kami berjaya julang trofi Liga M3 – Khairu Anwar

1,184

Pemain tengah PIB FC, Muhammad Khairu Anwar mengakui beliau dan rakan sepasukan gagal settle down dengan cepat menyebabkan mereka diasak bertubi-tubi oleh pasukan KL Rovers pada separuh masa pertama.

Khairu Anwar bagaimanapun berkata sikap tidak mudah menyerah kalah dan semangat yang tinggi menjadi kunci kejayaan mereka berjaya tewaskan KL Rovers menerusi sepakan penalti.


“Secara keseluruhan perlawanan pada malam ini sangat mencabar dengan KL Rovers mempamerkan aksi yang cukup hebat. Kami pula gagal settle down dengan cepat, mungkin kerana gemuruh perlawanan final.

Bagaimanapun sikap tidak mudah menyerah dan bersemangat untuk bermain dalam satu unit sepanjang perlawanan menjadi faktor utama kemenangan kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam perlawanan akhir Liga M3 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur menyaksikan KL Rovers terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Hadi Mizei pada minit ke-50.

Pada minit ke-81 PIB dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena pihak lawan di dalam kotak penalti. Walaupun penalti itu gagal disempurnakan, namun Khairu Anwar berjaya menjaringkan gol selepas penjaga gol gagal menangkap kemas bola tersebut.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan 90 minit dan perlawanan diheret ke masa tambahan dan akhirnya ke penentuan sepakan penalti yang menyaksikan PIB berjaya menang 5-3.

Adik kepada pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC iaitu Khairu Azrin ini bukan sahaja berjaya mengawal di bahagian tengah dengan baik, malah sering mendatangkan masalah buat barisan pertahanan KL Rovers menerusi hantaran-hantaran berbahaya.

Lebih manis lagi, tamat perlawanan Khairu Anwar turut dinobat sebagai Man Of The Match pada malam tadi.

Dalam pada itu, Khairu Anwar juga gembira apabila sasaran pihak pengurusan yang mahu menjadi juara Liga M3 tercapai dan selepas ini mereka akan beri tumpuan pada perlawanan play-off Liga Super pula.

“Sejak kelab ini ditubuhkan sasaran kami adalah mahu jadi juara kerana mahu naik ke Liga Perdana. Bagaimanapun dengan perubahan format Liga Malaysia pada musim hadapan, kami akan bermain play-off  untuk naik ke Liga Super.

Walaupun kami akan berdepan pasukan besar nanti, kami akan pastikan dapat beri saingan sengit pada mana-mana pasukan nanti.”

PIB FC kini sedang menunggu undian daripada pihak Malaysian Football League (MFL) untuk menentukan siapakah lawan mereka di pusingan play-off nanti samada Perak FC atau pun UiTM FC.