KAFA tak bayar hutang RM3.93 juta, Zamsahan nekad failkan saman

3,959

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sudah tidak dapat bersabar lagi dengan sikap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang masih lagi belum melunaskan hutang hampir RM4 juta.

Norizam atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham telah memberitahu beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap badan induk bola sepak negeri itu di laman sosial Facebook miliknya sebentar tadi.


“Saya sebenarnya nak diamkan sahaja, tapi selepas ramai yang tanya maka memang benar saya saman KAFA kerana gagal bayar hutang sebanyak RM3.93 juta.

Asal hutang KAFA RM3.8 juta, naik ke RM3.93 juta sebab KAFA minta tambahan pinjaman. Tapi setakat hari ini sat usen pun belum pulang ke saya,”

tulisnya.

Beliau pada masa sama turut memuat naik tangkap layar penyataan tuntutan yang mendedahkan sedikit butiran mengenai pinjaman yang diminta oleh KAFA pada Ogos 2021.

Tambah pemilik The Red Warriors itu lagi, beliau turut menyaman penjamin dari KAFA kerana gagal memastikan peminjam membayar semula hutang.

Terdahulu, pasukan bola sepak Kelantan hampir musnah apabila pasukan itu terpalit dengan masalah tunggakan gaji jutaan ringgit.

Tidak mahu melihat gergasi Pantai Timur itu terus hilang dari bola sepak tanah air selain memang pasang impian untuk miliki pasukan bola sepak sendiri, Zamsaham telah menawarkan diri untuk mengambil alih pasukan itu pada September 2020.

Beliau dikatakan telah membayar RM6.8 juta untuk membeli pasukan tersebut dari KAFA dengan RM3 juta nilai pembelian dan RM3.8 juta lagi sebagai pinjaman untuk KAFA melangsaikan hutang kepada pemain.