Satu per satu bekas jurulatih BAM ‘dicuri’ Singapura, masih belum ada kata putus untuk Eei Hui dan Pek Siah

1,666

Bekas jurulatih beregu negara, Paulus Firman akan memperkuatkan skuad badminton Singapura selepas beliau dilantik sebagai ketua jurulatih beregu negara tersebut.

Lantikan ini adalah untuk mempersiapkan pemain-pemain negara tersebut bagi merebut tiket untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris secara automatik.


Terdahulu, Paulus telah menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) buat kali kedua pada tahun 2018 selaku jurulatih pasangan beregu lelaki negara sebelum peranan beliau ditukar kepada pasangan beregu campuran secara mengejut.

Tindakan ini mungkin menjadi antara penyebab utama mengapa jurulatih berasal dari Indonesia tersebut membuat keputusan untuk mengundurkan diri pada April lalu.

Selain Paulus, dua lagi bekas jurulatih BAM yang bertanggungjawab di barisan kejurulatihan Singapura adalah legenda badminton negara, Lim Pek Siah yang turut melatih pasangan beregu.

Seorang lagi adalah jurulatih muda, Loh Wei Sheng yang kini ditugaskan sebagai pembantu jurulatih perseorangan untuk Persatuan Badminton Singapura (SBA).

Ini jelas menunjukkan betapa badan induk badminton negara tersebut semakin memberikan fokus dalam melahirkan lebih ramai pemain-pemain berkualiti yang mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, bekas juara dunia, Loh Kean Yew menjadi satu-satunya pemain Singapura yang berjaya di peringkat tertinggi.

Tidak mustahil suatu hari nanti, akan ada lebih ramai pemain daripada negara tersebut yang mampu mencabar kemampuan pemain Malaysia.

Dalam pada itu, sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang perkembangan terbaru terhadap kemasukan mana-mana jurulatih ke dalam skuad BAM.

Sebelum ini, BAM dikatakan memasang hasrat untuk mendapatkan kembali khidmat Pek Siah dan seorang lagi bekas pemain beregu negara, Chin Eei Hui.

Namun, masih belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak BAM berkaitan perkara ini.

Para peminat sudah semestinya berharap untuk melihat perubahan drastik dapat dilakukan dalam masa terdekat untuk mengembalikan zaman kegemilangan badminton negara.

Buat masa ini, harapan di dalam acara beregu wanita diletakkan sepenuhnya kepada pasangan Pearly Tan- Thinaah Muralitharan kerana tiada pasangan lain yang dilihat berjaya menonjol buat masa ini.

Perkara ini perlu diatasi segera bagi memastikan negara tidak ketandusan pemain beregu wanita yang mampu memberi saingan sepertimana yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Selain di bahagian beregu, masalah terbesar negara ketika ini adalah untuk menghasilkan pemain perseorangan wanita yang mampu menggalas cabaran negara di kejohanan-kejohanan besar.

BAM sehingga kini masih belum menemui jurulatih yang sesuai dan berkaliber dalam usaha menggilap bakat-bakat muda negara untuk kembali menyinar.

Sudah sekian lama sejak kali terakhir kita dapat melihat wakil negara beraksi cemerlang di dalam saingan perseorangan wanita.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen