KAFA gagal selesaikan hutang dan penyokong PSPS Riau bakar stadium, Zamsaham berdepan cabaran besar kendalikan dua kelab

3,409

Baru-baru ini, nama pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menjadi tumpuan selepas beliau mengambil tindakan untuk menyaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kerana gagal melunaskan tunggakan hutang berjumlah RM3.93 juta ketika mengendalikan kelab itu.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman ada memberi maklumbalas mengenai perkara itu dan berkata persatuan itu sememangnya tiada wang untuk membayar dan seakan-akan redha sekiranya disaman.


Sebelum isu KAFA timbul, sebuah lagi kelab milik Zamsaham, PSPS Riau berada dalam masalah gara-gara tindakan penyokong menyalakan suar dan membakar kawasan tempat duduk penyokong Stadium Utama Riau.

Disebabkan itu, pihak berkuasa tempatan mahu pengurusan PSPS Riau bertanggungjawab terhadap kerosakan yang dilakukan oleh penyokong mereka.

Sebagai pemilik kepada kedua-dua kelab tersebut, ini merupakan satu dilema buat dirinya, lebih-lebih lagi menuju ke perlawanan akhir liga dan menjelang bermulanya Piala Malaysia.

Sudah tentu cabaran baginya untuk menyelesaikan kedua-dua perkara itu lebih-lebih lagi beliau perlu berurusan di dua negara yang berbeza.

Namun melihatkan kepada pelbagai cabaran dan dugaan yang berjaya dihadapinya sejak mengambil alih kedua-dua kelab itu, masalah yang berlaku ini pasti akan membuatkan beliau lebih bersemangat lagi.

Tahun ini boleh dikatakan tahun yang baik buat dirinya selepas Kelantan akhirnya berjaya membuat untung selepas dua tahun mengambil alih Kelantan dengan pelbagai cabaran yang dihadapi.

Kelantan juga berjaya menarik semakin banyak penaja menuju ke saingan Liga Super musim depan.

Jadi mungkin akan ada sinar di hujung terowong di sebalik kesusahan yang menimpa kedua-dua kelab miliknya itu.

Sementara itu, kenyataan yang diberikan oleh wakil KAFA itu seolah-olah hanya mahu ‘lepas tangan’ daripada bertanggungjawab terhadap hutang tersebut.

Sekiranya semua persatuan bola sepak negeri di Malaysia mempunyai sikap sedemikian, malaplah masa depan bola sepak negara kerana masing-masing tidak mahu bertanggungjawab.

Walaupun kelab bola sepak kini sudah diswastakan, persatuan bola sepak negeri tetap harus bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan ketika masih masih memegang kelab tersebut.

Disebabkan masalah pengurusan seperti inilah banyak kelab masih mempunyai masalah selepas penswastaan berlaku.