Richard Chin teruja miliki peluang wakili Malaysia, tidak ingin beri komen tentang Jaami Qureshi

4,489

Pemain muda kacukan Malaysia-England, Richard Chin enggan mengulas dengan lebih lanjut tentang isu berbangkit tentang pemain kacukan lain seperti Jaami Qureshi.

Lebih-lebih lagi kerana Chin tidak pernah menyedari kehadiran Jaami dan ini adalah kali pertama beliau mendengar nama tersebut.


“Saya tidak mengenali Jaami, jadi saya tidak ingin memberi komen dengan lebih lanjut tentang isu beliau,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, Chin nyata teruja dengan minat ditunjukkan terhadap bakatnya yang semakin menyinar bersama Charlton Athletic di Liga 1 England.

Beliau gembira dengan penerimaan yang ditunjukkan oleh kebanyakan penyokong dari Malaysia yang semakin memberi perhatian kepada perkembangan kariernya.

“Peminat di Malaysia sangat menerima saya dengan pelbagai mesej sokongan yang saya terima sebelum ini dan mewakili Malaysia akan jadi suatu kebanggaan buat saya.

Buat masa ini, pilihan saya masih terbuka.”

Pemai berusia 19 tahun itu juga mengakui bahawa proses menyelesaikan dokumentasi beliau sudah bermula.

Ejennya, Rock Sports Management sedang giat dalam usaha berkomunikasi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha menyiapkan segala perkara yang diperlukan untuk membolehkan Chin menyarung jersi Harimau Malaya dalam masa terdekat.

“Ejen saya sedang berkomunikasi dengan FAM sejak minggu lepas dan cuba menyelesaikan kertas kerja dalam masa yang sama, tetapi masih belum ada perkembangan baru setakat ini.

Buat masa ini, saya ingin memberi fokus kepada latihan dan cuba pertingkatkan kualiti saya.”

Chin yang diturunkan selama 72 minit pada perlawanan liga menentang Forest Green sebelum ini merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia pertama yang berjaya melakukan debut di dvisyen ketiga England itu.

Pada aksi tersebut, Richard yang beraksi sebagai pertahanan kiri berjaya membantu pasukannya mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 1-1.

“Saya gembira dan berasa boleh melakukan dengan lebih baik selepas ini tetapi saya telah memberikan yang terbaik.

Saya sudah berpuas hati memandangkan ia adalah peringkat yang agak tinggi.”

Buat masa ini, Chin tidak memasang hasrat untuk beraksi di Malaysia kerana ingin terus mencapai matlamat beliau beraksi di pentas yang lebih tinggi.

Situasi ini menunjukkan motivasi pemain berpotensi besar tersebut dalam usaha untuk terus meningkatkan kualiti yang dimiliki olehnya.

“Impian saya memang untuk bermain dengan Charlton Athletic dan untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Tetapi, kita tidak tahu mungkinn di masa depan macam mana.”

Semoga beliau akan terus mendapat tempat bersama kelab dan berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa.