Konflik Kevin Sanjaya-Herry Iman cetus masalah di kem badminton Indonesia, peluang keemasan untuk pasangan negara

4,222

Kini, sedang berlaku konflik hangat sejak dua-tiga hari yang lalu yang telah mengganggu kem latihan skuad badminton Indonesia.

Pemain beregu lelaki utama Indonesia, Kevin Sanjaya dan pelatihnya, Herry Iman Pierngadi mula ‘bertikam mulut’ selepas masing-masing mula mengeluarkan kenyataan media menjelaskan tanggapan dari kedua-dua pihak.


Kevin yang mula mencapai kedudukan pertama dunia bersama pasangannya, Marcus Gideon pada tahun 2017 merupakan salah seorang pemain berkualiti yang dimiliki oleh skuad Indonesia.

Malah, gandingan kedua-dua pemain ini berjaya mendominasi saingan beregu lelaki untuk satu tempoh yang agak lama sebelum akhirnya turun ke tangga kedua dunia menerusi ranking yang dikeluarkan pada 20 September.

Meskipun memiliki pencapaian yang menakjubkan di peringkat antarabangsa, Kevin merasakan bahawa jurulatihnya, Herry tidak begitu menghargai usaha kedua-dua pemain ini dan melebihkan pasangan lain.

Kemuncak daripada masalah ini berlaku pada kejohanan Terbuka Indonesia Jun lalu selepas mereka hanya berjaya layak sehingga ke peringkat 16 terbaik sahaja.

Dapat dilihat prestasi pasangan ini mula merudum dan mereka gagal mempamerkan aksi menyakinkan sepertimana yang pernah dihasilkan sebelum ini di kejohanan-kejohanan utama seperti All England.

Sepanjang karier, pemain berusia 27 tahun tersebut telah berjaya memperoleh 342 kemenangan dan pernah dinobatkan sebagai pemain lelaki tahunan Persatuan Badminton Dunia (BWF) dua tahun berturut-turut pada tahun 2017 dan 2018.

Konflik yang terjadi ini sedikit mengejutkan namun, ia dapat dianggap sebagai sebuah peluang keemasan kepada pasangan beregu negara untuk menggunakan peluang ini dengan sebaiknya.

Berdasarkan ranking terkini, Malaysia memiliki tiga wakil di kedudukan 10 teratas dan pencapaian ini dilihat amat membanggakan.

Aaron Chia/Soh Wooi Yik kini berada di tangga kelima manakala Ong Yew Sin/Teo Ee Yi di kedudukan kesembilan dan Goh Sze Fei/Nur Izzuddin di kedudukan ke-10.

Pencapaian ini mampu menjadi pembakar semangat terbaik kepada ketiga-tiga pasangan ini untuk terus memberikan yang terbaik untuk merebut tempat dalam kedudukan kelapan terbaik dan layak ke BWF World Tour Finals.

Tambahan pula, kejayaan Aaron dan Wooi Yik meraih gelaran di dalam Kejohanan Badminton Dunia Ogos lalu membuktikan kemampuan pasangan dari Malaysia untuk terus menyinar di peringkat tertinggi.

Selepas ini, para pemain perlu menyiapkan diri untuk menghadapi pelbagai kejohanan mendatang seperti Terbuka Denmark yang akan membuka tirai pada 18 Oktober ini.

Wakil negara ini perlu meletakkan sasaran untuk layak lebih jauh bagi membolehkan mereka untuk mengumpul mata-mata berharga untuk memperbaiki kedudukan dari masa ke semasa.

Semoga kegemilangan badminton negara akan dapat kembali dicapai dalam masa terdekat.

Ayuh Malaysia!