Shin Tae-yong jadi pilihan bintangi iklan di Indonesia, mungkin KPG bakal ‘hiasi’ kaca TV Malaysia satu hari nanti

527

Terbaru, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) dikhabarkan bakal menawarkan lanjutan kontrak kepada pengendali berusia 51 tahun itu walaupun masih berbaki setahun.

Perkara itu disahkan sendiri oleh ketua umum PSSI, Mochamad Iriawan yang berkata proses tersebut sedang dimulakan oleh pihaknya yang berpuas hati dengan pencapaian jurulatih itu sepanjang mengendalikan pasukan kebangsaan.


Bukan sahaja pencapaian sebagai jurulatih, Mochamad Iriawan yang lebih dikenali sebagai Iwan Bule juga merasakan bahawa jurulatih itu adalah seorang individu yang mampu memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi tanah air.

Tae-yong sering muncul dalam iklan-iklan komersil di Indonesia dan menurut Iwan Bule, pihaknya boleh mempelajari cara mengangkat produk mereka supaya lebih dikenali.

Disebabkan itu, Iwan Bule berkata, pihaknya tidak bimbang ‘pekerjaan keduanya’ itu akan mengganggu tugasnya sebagai ketua jurulatih.

Ia adalah satu perkara yang amat positif dan boleh dicontohi oleh Malaysia kerana seperti Tae-yong, ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon juga tidak kurang popularnya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Lebih-lebih lagi selepas pencapaiannya membawa pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia 2023 dan peningkatan yang ditunjukkan oleh para pemain selepas beliau mengambil alih.

Populariti yang dikecapinya mungkin boleh dijadikan ‘aset’ oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti yang dilakukan oleh PSSI.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Pan-gon merupakan antara salah seorang figura sukan yang dihormati di negara ini walaupun belum sampai setahun.

Sekiranya beliau mampu membawa Malaysia menjulang Piala AFF buat kali kedua hujung tahun ini, sudah pasti ‘sahamnya’ akan semakin menaik.

Ketika itu, mungkin FAM sudah boleh berkira-kira untuk melanjutkan kontrak beliau seperti yang dilakukan oleh PSSI kepada ketua jurulatih mereka.