Mental, psikologi pemain badminton tak kuat

258

Bukan satu isu baharu tetapi sehingga sekarang masih belum ada penawarnya.

Kekuatan mental dan psikologi pemain-pemain badminton negara masih di tahap yang rendah.


Kekurangan ini dapat dilihat dengan jelas berdasarkan prestasi keseluruhan yang ditunjukkan pemain sepanjang musim ini.

Secara keseluruhannya, prestasi pemain boleh dikatakan kurang menyerlah sepanjang tahun 2021.

Selain Lee Zii Jia yang memenangi gelaran juara perseorangan lelaki di Seluruh England, pencapaian terbaik skuad negara hadir menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik 2020.

Pearly Tan-M Thinaah pula menjuarai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 di Basel, Switzerland.

Jika kedua-dua elemen tidak diatasi dengan kadar segera, pemain negara sukar untuk menghadapi perlawanan penting dan jadual kejohanan yang padat.

Proses untuk meningkatkan kekuatan mental dan psikologi pemain boleh dimulakan pada sesi latihan.

Sama ada pemain junior atau pemain senior, mereka perlu untuk memiliki ketahanan mental dan psikologi untuk menjadikan mereka lebih berdisiplin.

Jadi, jadual padat tidak boleh lagi dijadikan alasan kerana mereka sudah membuat persiapan yang sempurna sebelum menghadapi sesuatu kejohanan itu.

Beberapa pemain mengharungi sembilan kejohanan berturut-turut dalam tempoh tiga bulan sebelum tamat kejohanan dunia baru-baru ini.

Prestasi hambar skuad negara itu turut menarik perhatian Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

Kenapa kekuatan mental dan psikologi penting?

Cuba lihat kembali persembahan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada aksi separuh akhir acara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Dunia 2011.

Pasangan ini terpaksa menyerap provokasi daripada penonton sebelum tewas 13-21, 9-21 kepada beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Situasi itu menunjukkan bahawa Yew Sin- Ee Yi belum layak untuk  bergelar gandingan beregu nombor satu negara.

Sebelum ini, BAM sudah pun memikirkan cara untuk mengukuhkan kekuatan mental dan psikologi pemain sebelum mereka menyertai kejohanan besar.

Park Joo Bong, Morten Frost Hansen dan Rexy Mainaky pernah membimbing skuad negara tetapi masih gagal mencari jalan untuk mengatasi kelemahan tertentu terutamanya kekuatan mental dan psikologi.

Aspek penting yang perlu ditambah baik terutamanya apabila pemain muda negara menentang lawan yang berada di ranking yang lebih tinggi.

Apabila pemain tidak mempamerkan semangat yang cukup, mereka mudah terganggu dengan tekanan.