Memang sering dapatkan nasihat TMJ, bukan untuk ‘handle’ Selangor saja tetapi mana-mana pasukan pun – Tan Cheng Hoe

9,636

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui ada meminta nasihat daripada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai pasukan yang akan disertainya sebelum menerima tawaran Gergasi Merah.

Menurutnya, ketika beliau memegang skuad kebangsaan lagi, TMJ sering memberi motivasi dan sokongan kepadanya dan beliau masih lagi berhubung untuk mendapatkan nasihat baginda selepas meletak jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan awal tahun ini.


“Saya dengan TMJ ni saya patut berterima kasih kepada baginda kerana selama saya dengan skuad kebangsaan baginda banyak beri motivasi dan sokongan kepada saya.

Saya tidaklah berbincang dengan TMJ (untuk sertai Selangor) tetapi kebanyakan masa saya memang dapatkan nasihat daripada baginda bukan sahaja untuk handle Selangor tetapi mana-mana pasukan juga,”

katanya.

Menurut Cheng Hoe, salah satu sebab beliau berminat menyertai Selangor adalah kerana mempunyai ramai pemain muda yang berbakat.

Katanya, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka dan menggilap bakat mereka untuk pergi lebih jauh.

Dalam pada itu, beliau berkata akan menggunakan falsafah permainan moden yang terkenal dengan dirinya dan berharap pemain mampu menyesuaikan diri dengan pantas.

“Sudah tentu dalam masa terdekat bukan mudah untuk pemain serap falsafah saya tetapi dengan latihan dan komitmen mereka, saya percaya mereka mampu.

Memang setiap jurulatih bila ambil alih satu pasukan mereka nak bawa kejayaan tetapi kita tak boleh harap ia berlaku dalam jangka masa pendek, saya perlukan sokongan semua pihak.”

Menurutnya, berdasarkan kualiti individu setiap pemain yang dilihatnya, beliau percaya pasukan tersebut mampu menampilkan prestasi yang baik.

Beliau berkata sasarannya ketika ini mahu melihat semua pemain berkembang dan satu hari nanti dapat bermain dalam kejohanan AFC.