Malaysia semakin meningkat,tapi masih perlu waspada kebangkitan Indonesia dan Vietnam di Piala AFF
Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon berjaya mencari formula terbaik dalam meningkatkan prestasi pasukan.
Dua aksi cemerlang yang berjaya dipamerkan oleh anak buah Pan-gon di kejohanan King’s Cup baru-baru ini membuktikan kredibiliti pengendali berasal dari Korea Selatan tersebut dalam mengaplikasikan strategi berkesan.
Lebih membanggakan, pasukan kebangsaan berjaya mengikat dua negara yang berada di ranking jauh lebih tinggi dengan keputusan seri sepanjang 90 minit perlawanan.
Aksi cemerlang ini sekaligus memperbaiki kedudukan semasa di ranking dunia selepas mengumpul tambahan 4.23 mata melalui kejayaan meraih gelaran naib juara di kejohanan jemputan tersebut.
Mata yang berjaya dikumpul ini meletakkan pasukan negara di tanga ke-148 dunia, naik enam anak tangga dari kedudukan 154 dunia sebelum ini.
Ini menjadi antara kegemilangan demi kegemilangan yang berjaya diraih oleh bola sepak Malaysia selain daripada beberapa kelab tempatan yang cemerlang di saingan Asia seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Perkara ini juga boleh menjadi motivasi terbaik buat Pan-gon dan pasukan menjelang kejohanan Piala AFF yang bakal membuka tirai pada Disember ini.
Dalam pada itu, barisan kejurulatihan Malaysia tidak boleh terbuai dengan kejayaan ini tatkala dua pasukan serantau kini menunjukkan prestasi yang cemerlang pada aksi persahabatan baru-baru ini.
Indonesia berjaya mempamerkan aksi selepas cemerlang memenangi dua aksi persahabatan menentang Curacao yang berada di tangga ke-84 dunia.
Kejayaan ini juga membolehkan skuad Garuda memperoleh tambahan 14.71 mata selepas dua kemenangan penting.
Situasi ini jelas menunjukkan tahap persediaan pasukan Indonesia menjelang kejohanan Piala AFF tahun ini tambahan pula mereka semestinya ingin menebus kembali kehampaan sekadar bergelar naib juara pada edisi terakhir.
Indonesia tewas dengan keputusan agregat 6-2 pada perlawanan akhir menentang pasukan Thailand.
Selain Indonesia, Vietnam juga semakin mempamerkan taring mereka selepas mereka cemerlang menundukkan pasukan India di Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Hung Thinh 2022.
Ini merupakan kemenangan kali kedua yang berjaya dicatatkan oleh pasukan Vietnam ke atas pasukan besar di Asia.
Terdahulu, mereka juga berjaya mengalahkan pasukan China dengan keputusan 3-1 di pusingan kelayakan Piala Dunia Februari lalu.
Pan-gon perlu menyediakan strategi dan taktikal yang khusus bagi menghadapi anak buah Park Hang-seo.
Malaysia yang turut diundi bersama Vietnam di dalam umpulan B Piala AFF tahun ini dijadual bertemu pasukan tersebut pada 24 Disember.
Skuad Harimau Malaya perlu menggunakan peluang ini untuk kembali menebus kekecewaan tewas 3-0 di tangan Vietnam pada saingan Piala AFF yang lalu.
Untuk rekod, Malaysia masih belum berjaya mencatatkan sebarang kemenangan pada lima aksi terakhir menentang Vietnam.
Pan-gon yang dibantu oleh jurulatih lain seperti Pau Marti dan E. Elavarasan perlu menggunakan baki beberapa bulan ini untuk melakukan analisis terperinci dalam menghasilkan sebuah pasukan yang lebih padu.
Tidak mustahil dengan semangat yang ditunjukkan oleh kesemua pemain Malaysia ketika ini, kita akan mampu membawa pulang kembali trofi Piala AFF ke tanah air.