Makin banyak kelab sedar kepentingan bina pusat latihan sendiri, petanda positif tingkatkan mutu bola sepak tempatan
Selepas mengumumkan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baharu, Selangor FC kini semakin mengorak langkah ke hadapan apabila pusat latihannya dilaporkan akan siap dibina tahun depan.
Dikhabarkan, pusat latihan itu akan dilengkapi dengan pelbagai fasiliti seperti gymnasium, bilik medik, pejabat pasukan teknikal, kolam untuk proses pemulihan, padang latihan tertutup dan gelanggang pasir.
Ini sudah tentu memberi tonik tambahan kepada pasukan menjelang saingan musim 2023 yang dijangka lebih sengit dengan 18 pasukan.
Bukan saja Selangor, pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi baru-baru ini ada memberitahu bawah pihaknya sedang memohon kepada pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan tanah untuk membina fasiliti seperti stadium dan padang latihan.
Ia menunjukkan bahawa pihaknya serius mahu meningkatkan lagi tahap pasukan itu selepas disahkan layak ke Liga Super musim depan.
Sebuah lagi pasukan utara, Kedah Darul Aman FC juga pernah mengumumkan hasrat untuk mewujudkan sebuah pusat latihan bola sepak bertaraf dunia dan diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Pemiliknya, Tan Sri Mohd Daud Bakar meluahkan hasrat itu awal tahun ini dan berkata ia juga boleh menjadi tarikan pelancong.
Ini menunjukkan bahawa semakin banyak kelab yang menyedari kepentingan mewujudkan pusat latihan yang mempunyai fasiliti-fasiliti asas.
Ia adalah satu perkembangan yang baik buat bola sepak tempatan kerana pusat latihan sebenarnya adalah amat penting buat sebuah kelab bola sepak profesional.
Diharapkan langkah ini bakal dicontohi oleh banyak lagi kelab lain dalam meningkatkan lagi mutu bola sepak tempatan.
Ketika ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempunyai pusat latihan sendiri dengan fasiliti lengkap serta berkelas dunia, dan dapat dilihat kewujudannya berjaya membawa kelab itu satu tahap yang lebih tinggi berbanding pasukan-pasukan lain.
Sekiranya lebih banyak kelab yang melakukan perkara sama, tidak mustahil tahap persaingan di Liga Malaysia semakin meningkat sekaligus memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan negara.