Peningkatan ranking jadi tonik Lee Zii Jia kembalikan kecemerlangan, BAM harus fokus baiki tiga kategori lain
Pemain badminton utama negara, Lee Zii Jia berjaya melangkah ke tahap yang lebih tinggi dalam kariernya selepas bergelar pemain ketiga terbaik dunia berdasarkan kemaskini terbaru ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Zii Jia mengumpul 91,578 mata, dengan dua pemain Denmark, Viktor Axelsen dan Anders Antonsen masing-masing berada di ranking pertama dan kedua dengan 122,606 dan 92,700 mata.
Namun Zii Jia bertekad tidak mahu berhenti setakat itu dan menyasarkan hujung tahun ini untuk merampas kedudukan kedua daripada Antonsen menjelang akhir tahun ini.
Sasaran itu dilihat mampu direalisasikannya berdasarkan perbezaan mata yang tidak begitu jauh antara beliau dan pemain Denmark itu.
Cuma, beliau harus meningkatkan lagi prestasinya pada kejohanan-kejohanan yang bakal disertai selepas ini untuk terus meletakkan tekanan kepada Antonsen.
Sebelum ini, beliau dilihat sedikit bergelut dengan prestasi yang tidak menentu selepas ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan ketiga di Kejohanan Dunia dan pusingan pertama di Terbuka Jepun.
Mungkin dengan perubahan ranking ini, beliau mendapat motivasi tambahan untuk terus meningkatkan lagi tahap permainannya.
Bukan sahaja Zii Jia, ranking bagi beregu lelaki negara juga menunjukkan sinar apabila tiga pasangan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin berada dalam kelompok 10 terbaik.
Aaron dan Wooi Yik menduduki tangga kelima manakala dua lagi beregu tersebut masing-masing berada di tangga kesembilan dan kesepuluh dunia.
Ini menunjukkan resipi yang dibawa oleh Rexy Mainaky dalam membentuk pasangan beregu negara menjadi, lebih-lebih lagi kejayaan Aaron dan Wooi Yik bergelar juara dunia bulan lalu.
Kedudukan ranking terbaru ini juga harus dijadikan ‘wake-up call’ oleh Persatuan Badminton Alaysiaa (BAM) dalam kategori lain kerana tiada langsung wakil Malaysia dalam perseorangan wanita, beregu wanita dan juga beregu campuran.
BAM harus melakukan rombakan dengan segera bagi ketiga-tiga kategori ini supaya tidak terus ketinggalan.