Speedy Tigers tewaskan Belgium A, berada di landasan terbaik menjelang Piala Dunia Hoki

896

Skuad hoki negara dilihat sedang giat melakukan persiapan demi persiapan menjelang penyertaan kali kesembilan di kejohanan Piala Dunia yang bakal berlangsung pada Januari tahun hadapan.

Anak buah A Arulselvaraj membuka langkah kanan pada Siri Perlawanan Persahabatan – Jelajah Belgium 2022 baru-baru ini selepas membenam pasukan Belgium A dengan keputusan 1-0 pada perlawanan pertama.


Gol tunggal berjaya dijaringkan oleh pemain berpengalaman, Razie Rahim menerusi pukulan sudut penalti.

Meskipun hanya perlawanan persahabatan, keputusan ini tetap memberikan sebuah petanda positif terhadap persiapan skuad kebangsaan bagi membolehkan mereka memberi saingan yang kuat di Piala Dunia kelak.

Malaysia berjaya mengesahkan tiket untuk layak ke Piala Dunia selepas cemerlang untuk berada di dalam kelompok Super 4 pada Kejohanan Piala Asia yang berlangsung di Jakarta pada Mei lalu.

Berdasarkan undian yang dilakukan, Malaysia telah diundi di dalam Pool C bersama pasukan Belanda, New Zealand dan Chile.

Pasukan negara akan berhadapan laluan yang getir tatkala Belanda merupakan naib juara dalam edisi terakhir kejohanan ini pada tahun 2018.

Edisi 2023 akan menjadi kali ke-15 pasukan ini beraksi di Piala Dunia selepas kali pertama layak ke kejohanan ini pada tahun 1971.

Belanda juga merupakan antara pasukan yang mempunyai rekod cemerlang di Piala Dunia selepas berjaya meraih gelaran juara sebanyak tiga kali pada tahun 1973, 1990 dan 1998 selain menjadi naib juara sebanyak empat kali.

Selain Belanda, New Zealand yang kini berada di tangga kesembilan dunia bakal menjadi salah sebuah pasukan yang akan memberikan cabaran hebat kepada skuad negara.

Tambahan pula, pasukan Oceania ini telah beraksi di Piala Dunia sebanyak 11 kali bermula tahun 1973.

Malaysia perlu beraksi cemerlang untuk sekurang-kurangnya menjadi antara pasukan tiga terbaik di dalam Pool C untuk layak ke peringkat yang lebih jauh di kejohanan ini.

Pencapaian terbaik skuad hoki negara di kejohanan Piala Dunia adalah sewaktu memperoleh tempat keempat pada tahun 1975.

Speedy Tigers dijadual bertemu juara bertahan Piala Dunia, skuad utama Belgium hari ini (28 September) pada pukul 6 petang.