Saya kecewa tidak terpilih wakili Malaysia, saya diberitahu ada peluang untuk dipilih – Ryan Lambert

3,998

Pemain KL City FC, Ryan Lambert mengakui beliau berasa kecewa kerana tidak terpanggil mewakili negara seperti kembarnya, Declan Lambert.

Menurutnya, beliau akan terus berusaha keras lagi sehingga terpilih mewakili Malaysia pada masa depan.


“Tidak dinafikan saya memang rasa kecewa tidak dipanggil mewakili Malaysia kerana saya diberitahu bahawa saya mempunyai peluang untuk dipilih.

Tetapi benda pun sudah berlalu dan kita lihat sahaja pada masa depan macam mana,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau merasakan kemenangan besar ke atas Sarawak United FC 5-0 dalam aksi Liga Super sebentar tadi adalah tonik terbaik sebelum berdepan kelab Uzbekistan, Sogdiana bagi perlawanan akhir interzone Piala AFC.

Katanya, ia mampu menambah keyakinan mereka terutama selepas kekalahan kepada Penang FC sebelum ini.

Pada perlawanan itu, Ryan berjaya mencatatkan hatrik pertama dalam kariernya dengan gol pada minit ke-29, 41 dan 53.

Beliau berharap mampu meneruskan lagi prestasi seperti itu pada perlawanan-perlawanan selepas ini.

“Saya gembira berjaya jaringkan hatrik ini kerana saya bukanlah seorang penjaring gol, jadi saya harap akan terus jaringkan lebih banyak gol selepas ini.”

Menurut Declan, beliau berterima kasih kepada penyokong KL City yang sering memberi sokongan kepada mereka walaupun bermain di luar negara.

Beliau berkata, para pemain merasai sokongan yang diberikan ketika mereka berada di India dan Vietnam sebelum ini.