Ini bukan lawatan sambil belajar, kami mahu layak ke Piala Asia B-17 2023 – Chris Raj

455

Pengurus pasukan pasukan B-17 Malaysia, Christopher Raj meletakkan sasaran buah pasukannya untuk layak ke Piala Asia 2023 walaupun mengakui bakal berdepan laluan sukar selepas diundi dalam kumpulan maut.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Indonesia, UAE, Palestin dan Guam.


“Seperti awal yang saya katakan sasaran kita adalah kita mahu layak ke Piala Asia 2023. Kita perlu ada sasaran kerana ini bukan lawatan sambil belajar.

Saya sudah beritahu pemain yang mereka perlu berikan aksi terbaik dan berharap kami akan dapat slot ke Piala Asia pada tahun depan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, skuad negara mempunyai peluang jika berjaya berada pada kedudukan kedua namun perlu menjadi lima pasukan naib johan terbaik untuk layak.

Dalam pada itu, beliau gembira apabila segala persiapan yang dilakukan berjalan dengan lancar termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi menguji pasukan sebelum terbang ke Indonesia.

“Kami telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan ATM B-21 dan Skuad Projek FAM-MSN  dan semalam telah menentang Chinese Taipei B-17 dan kesemua pemain kini berada dalam prestasi terbaik dan teruja untuk menghadapi kejohanan ini.”

Sementara itu, Chris enggan memberi tekanan kepada pemain, namun tidak mahu mereka mengulangi kesilapan yang berlaku di kejohanan Piala AFF baru-baru ini.

“Saya telah memberitahu barisan kejurulatihan dan juga pemain apa yang berlaku di Yogyakarta perlu dijadikan sebagai pengajaran dan tidak boleh lagi mengulangi kesilapan sama.”

Beliau pada masa sama juga tidak melihat fizikal pemain pasukan lawan akan menjadi masalah kerana pemain negara mampu mengatasi kelebihan itu dengan corak permainan dominan.

Skuad Harimau Muda akan membuka tirai Kumpulan B menentang Palestin pada 1 Oktober ini, Guam pada 5 Oktober, UAE pada 7 Oktober dan perlawanan terakhir menentang Indonesia pada 9 Oktober.