Harinder Sekhon terima layanan buruk, terus disisih daripada skuad kriket negara tanpa pengadilan sewajarnya

586

Pemain kriket Malaysia, Harinder Sekhon kecewa dengan layanan yang diterima olehnya selepas beliau digugurkan daripada skuad kebangsaan tanpa sebarang alasan yang begitu jelas.

Beliau percaya komitmen beliau dengan tugasannya sebagai seorang pendidik merupakan salah satu penyebab utama keputusan tersebut dilakukan.


“Saya merupakan seorang guru dan kerana saya memberitahu bahawa saya tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya saya dibuang dari latihan.

Mungkin jurulatih marah dengan perkara tersebut walaupun saya sudah cuba menghubungi beliau secara peribadi menerangkan tentang masalah saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Apa yang membuat pemain tersebut merasa lebih terkilan adalah kerana layanan tidak sama rata yang diterima olehnya.

Lebih-lebih lagi terhadap keputusan mengejut yang dilakukan oleh jurulatih skuad kebangsaan tanpa sebarang perbincangan dua hala yang lebih terperinci.

“Saya tahu ada beberapa orang pemain lagi juga bekerja dan saya tidak mahu menyebut sebarang nama, tapi ini adalah layanan kurang baik kepada saya sedangkan ada juga orang lain yang turut bekerja dan belajar.

Tidak adil sekiranya anda ingin menggunakan alasan tersebut untuk keluarkan saya dan tidak memberi peluang kepada saya untuk lakukan latihan dan membantu pasukan Malaysia.”

Permasalahan ini sudah sekian lama menyelebungi sukan kriket di Malaysia terutamanya Harinder sendiri yang terpaksa berhadapan dengan beberapa siri isu negatif seperti ini.

Situasi seperti ini tidak sepatutnya dialami oleh seorang atlet yang mewakili pasukan kebangsaan lebih-lebih lagi selepas mereka berkorban untuk negara.

“Kadangkala memang saya dapat rasakan ada layanan kurang adil di latihan dan ada perkara lain yang berlaku.

Ini sudah terjadi kepada saya dan beberapa bekas pemain yang pernah melalui perkara ini, saya berharap sesuatu perubahan dapat dilakukan.”

Pada masa yang sama, beliau berharap selepas ini akan ada sokongan yang lebih kuat daripada Persatuan Kriket Malaysia dalam menangani isu seperti ini.

Beliau kini masih dalam perbincangan bersama wakil dari persatuan tersebut terhadap hala tujunya selepas ini.

“Saya melihat perkara seperti ini turut berlaku kepada sukan lain tetapi mereka disokong oleh persatuan dan badan-badan berkaitan.

Jadi saya harap perkara yang sama akan berlaku untuk sukan kriket.”

Meskipun berhadapan dengan isu seperti ini, semangatnya untuk mewakili pasukan negara tetap menyala dan tidak akan pernah putus.

“Saya semestinya bersedia untuk kekal mewakili dan memberi yang terbaik buat Malaysia tetapi saya harap perkara ini dapat diubah terlebih dahulu.

Perkara mesti berubah.”

Dalam pada itu, Harinder juga merupakan seorang pemegang rekod dunia bagi acara ‘standing jump’ menggunakan satu kaki yang berjaya dicatatkan oleh beliau pada tahun 2021.

“Semua bermula sewaktu PKP, saya mula melakukan ‘box jumping’ di rumah untuk mengekalkan kecergasan.

Lama kelamaan saya menyedari saya semakin bertambah baik dan saya mula berminat untuk berlatih dan mencatatkan rekod dunia selepas melihat sukan ini mendapat perhatian.”

Harinder telah melakukan debut bersama skuad kriket negara pada 13 November 2016 sewaktu bertemu Singapura di Johor.