Tekanan yang keterlaluan buat pemain muda bukanlah sesuatu yang baik – Osmera Omaro
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-17 Malaysia, Osmera Omaro mengakui sememangnya akan ada tekanan kepada pemain apabila menghadapi kejohanan, tetapi tekanan yang keterlaluan tidak bagus untuk pemain muda.
“Tekanan memang perlu ada tetapi apakah kesan kepada pemain itu kerana tekanan yang keterlaluan buat pemain muda bukanlah sesuatu yang baik. Kenapa? Sebabnya pemain muda ini kita kena bagi mereka cuba tapi kalau mereka asyik takut sampai bila mereka nak belajar,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, kebanyakkan pemain ini adalah pemain muda yang masih kurang pengalaman tetapi mereka telah memperlihatkan perkembangan yang cukup positif.
Osmera pada masa sama turut berkata antara punca kegagalan mereka di kejohanan Piala AFF baru-baru ini berkemungkinan kerana tekanan yang cukup tinggi yang diletakkan kepada pemain.
Jelasnya lagi, pemain sudah sedia maklum dengan tekanan yang dihadapi oleh mereka dah sudah tahu apa yang perlu mereka lakukan apabila diturunkan.
Dalam pada itu, skuad Harimau Muda akan terbang ke Jakarta, Indonesia untuk menghadapi kelayakan Piala Asia B-17 2023 yang mana Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama UAE, Indonesia, Guam dan Palestin.
“Kita sudah tahu hampir setiap perlawanan kita akan mengawal perlawanan sehingga 70 ke 80 peratus tetapi dan mencipta lebih 10 peluang dalam setiap perlawanan tetapi peratusan untuk menjaringkan gol yang kurang.
Kita sentiasa terdedah dengan serangan pihak lawan sebagai contoh menentang Chinese Taipei B-17 semalam yang mana pasukan lawan hanya membuat tiga ke empat percubaan tetapi setiap percubaaan mereka cukup berbahaya. Pemain sudah tahu dan kini terpulang kepada mereka untuk perbaiki kelemahan itu.”
Sementara itu, Osmera berkata beliau tidak akan membuat perubahan drastik dalam taktikal sebaliknya beliau akan membuat percaturan dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain.
Malaysia akan membuka tirai kempen kelayakan Piala Asia B-17 2023 menentang Palestin pada 1 Oktober ini, Guam pada 5 Oktober, UAE pada 7 Oktober dan perlawanan terakhir menentang Indonesia pada 9 Oktober.