PIB FC dan KL Rovers FC masih berdiam diri lepas aksi play-off ke Liga Super batal, ‘dipaksa’ tutup mulut oleh pihak tertentu?
Baru-baru ini, pengumuman Malaysian Football League (MFL) mengenai pembatalan aksi play-off bagi merebut dua slot Liga Super 2023 melibatkan pasukan juara dan naib juara Liga M3 dengan dua pasukan terbawah Liga Premier 2022 mengejutkan ramai pihak.
Menurut MFL, ia selepas sebuah badan bebas, First Instance Body (FIB) menyemak laporan berkenaan permohonan pelesenan Kelab Liga M3 di mana hanya tujuh kelab yang membuat permohonan iaitu PIB FC, Harini FT, BRM FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC dan Manjung City FC.
Daripada ketujuh-tujuh pasukan itu, hanya PIB dan Harini FT sahaja yang menunjukkan progres baik tetapi gagal melengkapkan kesemua kriteria kelab profesional bagi mendapatkan lesen pada tarikh akhir permohonan.
Selepas pengumuman itu dilakukan, Harimau Malaya cuba mendapatkan penjelasan daripada PIB dan juga KL Rovers yang merupakan juara dan naib juara Liga M3.
Ketua Pegawai Operasi PIB, Ikhram Goby Abdullah dan wakil KL Rovers yang juga Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa pada mulanya bersetuju untuk ditemubual bagi menjelaskan perkara itu.
Namun, mereka kemudian secara tiba-tiba mendiamkan diri ketika sesi temubual hampir berlangsung.
Sehingga kini, kedua-dua pihak masih belum memberi penjelasan mengapa mereka ‘lari’ daripada melakukan temubual tersebut.
Sepatutnya ini adalah peluang buat kedua-dua pihak menjelaskan apa yang berlaku sekiranya terdapat sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan itu.
Adakah mereka ‘dipaksa’ oleh pihak-pihak tertentu untuk mendiamkan diri daripada memberikan sebarang kenyataan?
Atau adakah mereka tidak berpuas hati dan melakukan boikot terhadap pihak-pihak tertentu?
Jika dilihat berdasarkan persepsi peminat bola sepak tempatan, ramai sebenarnya yang tertanya-tanya dengan keputusan MFL itu kerana mereka tidak menerangkan dengan lebih lanjut punca tersebut.
Para penyokong kedua-dua pasukan itu juga sudah tentu mahukan penjelasan lanjut apa sebenarnya kriteria yang masih belum dilengkapkan oleh kelab mereka.
Dengan terus mendiamkan diri daripada memberi kenyataan, lebih ramai pihak yang akan membuat spekulasi tentang isu tersebut.