Trio import Selangor kecewa janji sebidang tanah 27 tahun lalu masih tak ditunaikan, FAS jangan buat-buat lupa!
Sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia 1995 berlangsung antara Selangor dan Pahang, pemain-pemain gergasi merah telah dijanjikan dengan sebidang tanah berkeluasan 40 ekar sekiranya dapat menjulang piala itu.
Berbekalkan tonik tambahan tersebut, Selangor berjaya menewaskan Pahang yang merupakan salah satu pasukan besar ketika itu dengan pemain-pemain bintang seperti Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan dengan jaringan 1-0.
Selepas 27 tahun berlalu, pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akhirnya akan menunaikan janji tersebut, tetapi dalam bentuk sebuah unit apartmen Selangorku.
Namun, tiga pemain import yang memainkan peranan penting dalam menjaringkan gol kemenangan itu iaitu David Mitchell, Josip Biskic dan Mehmet Durakovic merasa tersisih kerana apartmen Selangorku hanyalah untuk warga tempatan, bermakna mereka tidak akan mendapat habuan tersebut.
Menurut laporan New Strait Times, Mitchell berkata ketiga-tiga mereka diberitahu bahawa mereka tidak perlu hadir ke upacara penyerahan unit tersebut dan pihak FAS akan berbincang mengenai situasi mereka.
Situasi yang berlaku kepada ketiga-tiga pemain ini sepatutnya tidak timbul memandangkan pasukan itu sudah berjanji mengenai habuan itu.
FAS haruslah melakukan sesuatu bagi memastikan mereka tetap mendapat habuan yang telah dijanjikan, lebih-lebih lagi jasa mereka terhadap pasukan itu begitu besar.
Sebagai sebuah persatuan yang besar dalam bola sepak di negara ini, perkara seperti ini boleh menjatuhkan reputasi mereka justeru pihak FAS harus menunaikan juga janji tersebut tidak kiralah bagaimanapun.
Dengan kepimpinan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, persatuan itu kelihatan sedang berada dalam landasan terbaik untuk mengembalikan zaman kegemilangan Selangor.
Kelab itu baru sahaja melantik bekas ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baru dan bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Dennis Bekking sebagai pengarah teknikal kelab.
Justeru, isu seperti ini diharapkan dapat diselesaikan dengan cara baik dan secepat mungkin supaya tidak menjelaskan momentum pasukan.