Perak FC berhasrat bangunkan pusat latihan dan stadium sendiri, kerajaan negeri harus bantu realisasikan impian itu

2,424

Selepas mengambil alih Perak FC, XOX Berhad dilihat semakin agresif meningkatkan tahap pasukan itu dengan beberapa perancangan yang strategik.

Pengurusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi baru-baru ini ada menzahirkan hasratnya untuk mewujudkan pusat latihan dan stadium sendiri buat pasukan itu bagi mengembalikan zaman kegemilangan pasukan.


Menurutnya, Perak telah memohon kepada pihak berkuasa negeri untuk memberi bantuan dari segi penyediaan tanah untuk membina fasiliti tersebut.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan beliau sudah mendapat permohonan itu dan berkata kelab itu harus menghantar permohonan kepada pejabat tanah kawasan berkenaan.

Menurut Saarani lagi, tiada jaminan keistimewaan akan diberikan kepada permohonan itu dan akan melalui proses sama seperti permohonan lain.

 Tidak dinafikan layanan adil harus diberikan kepada semua pihak, namun kerajaan negeri Perak mungkin boleh memberi bantuan dengan melancarkan dan menyegerakan proses permohonan tersebut.

Kerajaan juga mempunyai tanggungjawab terhadap pembangunan sukan negeri, justeru ini adalah salah satu cara untuk meningkatkan lagi tahap bola sepak negeri.

Lagipun, Abdul Azim sendiri menegaskan bahawa kelab itu tidak memerlukan bantuan dari segi kewangan tetapi hanya urusan pentadbiran.

Jadi ini tidak sepatutnya menjadi masalah untuk kerajaan negeri memandangkan mereka tidak mengeluarkan sesen pun.

Mungkin tindakan Abdul Azim yang mengeluarkan kenyataan seperti itu di media membuatkan pihak kerajaan negeri sedikit ralat.

Tetapi, sekiranya kerajaan negeri membantu usaha kelab itu untuk mewujudkan stadium dan pusat latihan sendiri, pastinya mereka akan mendapat sokongan padu daripada rakyat Perak yang sememangnya diketahui mempunyai salah satu fanbase yang begitu fanatik dan ramai.

Jadi, ini akan menjadi situasi menang-menang buat kedua-dua pihak terutamanya pasukan Perak yang baru saja mahu mencipta kebangkitan.