Setuju dengan kenyataan Hamidin, faham dengan kekecewaan yang diluahkan oleh Bojan Hodak
Beberapa hari kebelakangan ini kecoh di media sosial dengan kenyataan daripada ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak yang merasakan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon tidak menghormati tugasnya sebagai jurulatih apabila membawa dua pemainnya ‘bercuti’ di Thailand bagi menghadapi kejohanan King’s Cup.
Menurut Hodak, beliau sudah meminta pelepasan untuk Pan-gon tidak membawa Declan Lambert dan Zhafri Yahya ke Chiang Mai, Thailand kerana mereka sedang dalam persiapan untuk perlawanan paling penting kelab itu, namun terpaksa akur.
Pada kejohanan tersebut, Declan Lambert hanya diturunkan selama 10 minit pada perlawanan pertama, manakala Zhafri pula langsung tidak diturunkan.
Ketika ketiadaan dua tonggak utama itu, KL City turun beraksi dalam saingan Liga Super menentang Penang FC pada 24 September yang mana mereka tumpas 1-0.
Perlawanan tersebut berlangsung ketika rehat aksi antarabangsa sekaligus menimbulkan persoalan daripada ramai peminat bola sepak mengenai keputusan Malaysian Football League (MFL) untuk mengadakan perlawanan tersebut.
Biarpun Hodak tidak menyalahkan MFL dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kerana kedua-dua badan tersebut telah membantu skuad The City Boys menyusun semula jadual bagi memastikan mereka menamatkan saingan liga pada tempoh yang sepatutnya, namun tindakan MFL dapat kecaman ramai.
Ramai yang berkata Hodak sepatutnya mempersoal MFL mengapa perlawanan liga dibuat ketika rehat aksi antarabangsa.
Kenyataan pengendali daripada Croatia itu turut mendapat perhatian Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang membidas kenyataan tersebut dengan meminta Hodak tidak lagi memberi komen berhubung perkara itu.
Menurut Hamidin, Hodak yang pernah menjadi jurulatih pasukan kebangsaan B-20 sebelum ini sepatutnya lebih memahami peraturan yang mana pemain terpilih perlu menjalani latihan walaupun tidak diturunkan.
Untuk situasi ini FAM mempunyai hak untuk memanggil mana-mana sahaja pemain yang diminta oleh Pan-gon untuk memperkuatkan skuad negara dan terpulang kepada ketua jurulatih untuk menurunkan mana-mana pemain yang dirasakan akan bantu pasukan beri keputusan positif.
Mungkin akan ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Hamidin, namun apa yang diperkatakan oleh beliau adalah benar dan tidak boleh dipertikaikan.
Berdasarkan situasi ini, MFL akan dipersalahkan kerana mereka tetap mengadakan perlawanan liga biarpun tahu liga di seluruh dunia berehat bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.
Namun MFL juga mungkin mempunyai alasan mereka sendiri mengapa terpaksa mengadakan perlawanan pada waktu itu, jadi sama-sama kita tunggu kenyataan rasmi daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL iaitu Stuart Ramalingam mengenai perkara ini.
Hendak terus menuding jari pun rasanya sudah tidak ada gunanya kerana ia sudah pun berlaku, tetapi ia boleh dijadikan sebagai pengajaran supaya perkara seperti ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan.