Lim Teong Kim bawa Raja Azlan Shah akan mantapkan Perak FC pada musim depan

11,345

Pelantikan Lim Teong Kim (LTK) sebagai ketua jurulatih baru Perak FC baru-baru ini telah mencetuskan keterujaan ramai peminat bola sepak tanah air terutamanya peminat pasukan itu sendiri.

Semua sedia maklum dengan reputasi beliau bekas jurulatih remaja Bayern Munich, bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP) dan juga bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).


Semalam Teong Kim sudah pun memulakan sesi latihan pertamanya bersama skuad The Bos Gaurus dan rata-rata peminat nyata tidak sabar untuk melihat aksi pemain di atas padang nanti selepas melihat video sesi latihan tersebut.

Pada mulanya ramai yang menjangkakan Yusri Che Lah akan menjadi pembantu Teong Kim, namun jangkaan itu meleset apabila Perak memaklumkan bahawa Yusri akan mengendalikan skuad Liga Simpanan dan ini membuatkan ramai tertanya-tanya siapakah yang bakal menjadi penolong jurulatih pengendali baru itu.

Teong Kim dikatakan akan membawa penolong jurulatih beliau ketika melatih skuad Malaysia B-16 iaitu Raja Azlan Shah.

Walaupun tiada pengesahan rasmi lagi daripada pihak pengurusan Perak, namun jika ia benar-benar berlaku Perak dijangka akan kembali menjadi pencabar utama Liga Super pada musim hadapan.

Bagi yang tidak mengenai latar belakang Raja Azlan Shah, beliau merupakan anak jati Ipoh, Perak dan juga bekas pemain Perak FA belia dan juga senior.

Selepas bersara dari menjadi pemain bola sepak, beliau memulakan karier kejurulatihannya bersama skuad belia Perak pada tahun 2007 hingga 2008 dan kemudian mengendalikan skuad utama pada tahun 2010.

Beliau kemudian telah menyertai barisan kejurulatihan di NFDP yang mana beliau bekerjasama dengan Teong Kim dan berjaya menghasilkan ramai pemain muda hebat.

Pasukan Perak sangat beruntung kerana mempunyai bekas-bekas pemain yang sangat cintakan kelab tersebut dan tidak keberatan untuk menabur bakti pada pasukan kesayangan termasuklah lagenda Perak iaitu Shahrul Azhar yang kini bertindak sebagai Pengarah Teknikal.

Seorang lagi bekas pemain Perak iaitu V. Saravanan dalam temubualnya bersama Harimau Malaya sebelum ini juga pernah menyuarakan keinginannya untuk kembali berbakti di tanah air satu hari nanti jika diperlukan.

Bekas penyerang prolifik yang juga lagenda Perak, Khalid Jamlus juga pernah menyuarakan hasrat untuk menabur bakti bersama bekas pasukannya itu.

Dalam pada itu, berdasarkan video latihan pasukan itu yang disiarkan di YouTube rasmi Perak, pasukan itu dijangka akan menukar corak permainan mereka kepada corak bola sepak moden yang berintensiti tinggi.

Ini kerana dalam video tersebut memperlihatkan Teong Kim sentiasa memberi arahan kepada pemainnya untuk sentiasa berlari di atas padang dan memberi tekanan kepada pihak lawan supaya dapat mematahkan segala percaturan pemain lawan.

Pasti ramai yang sudah tidak sabar lagi untuk melihat corak permainan pasukan Perak yang baru dan siapakah pemain baru yang akan dibawa masuk oleh Teong Kim untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super pada musim depan.

Apa-apa pun kita ucapkan selamat maju jaya buat Teong Kim dan juga Perak FC!