Lebih baik hantar skuad B-23 sahaja ke Piala AFF, biarkan pasukan senior tumpu kejohanan lebih besar

1,934

Setiap kali kejohanan Piala AFF berlangsung, peminat tempatan akan meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap pasukan kebangsaan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.

Jangkaan dan harapan peminat itu adalah wajar kerana Malaysia boleh dianggap sebagai antara negara terkuat di rantau ini.


Setiap kali Malaysia gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir, ada saja isu yang akan dibangkitkan seperti persiapan yang tidak lengkap atau terdapat kelab yang tidak mahu melepaskan pemain mereka.

Ambil contoh pada edisi lalu, skuad negara hanya mempunyai kira-kira empat hari sahaja untuk membuat persiapan penuh kerana perlawanan pertama Malaysia berlangsung pada 6 Disember 2021, sedangkan perlawanan akhir Piala Malaysia berlangsung pada 30 November 2021.

Mungkin sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar skuad B-23 negara untuk ke kejohanan itu supaya tidak timbul isu berbangkit.

Sekiranya FAM menghantar skuad B-23, sudah tentu peminat faham bahawa ia adalah untuk pendedahan dan pengalaman para pemain muda, justeru tidak meletakkan harapan tinggi terhadap mereka.

Skuad senior pula hanya perlu fokus kepada kejohanan utama seperti Piala Asia, kelayakan Piala Dunia dan 

Lagipun kejohanan Piala AFF tidak menawarkan mata FIFA yang tinggi kerana ia dilangsungkan di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Disebabkan itu, kelab mempunyai hak untuk tidak melepaskan pemain mereka sekiranya dipanggil bagi menghadapi kejohanan itu.

FAM harus mengambil pengajaran daripada persiapan Piala AFF edisi lalu apabila skuad negara tidak mempunyai masa untuk melakukan persiapan lengkap kerana kejohanan itu membuka tirainya beberapa hari selepas Piala Malaysia tamat.

Keengganan kelab untuk melepaskan pemain mereka adalah wajar kerana pemain berisiko mendapat kecederaan akibat tidak mendapat rehat yang cukup.

Selain itu, ia juga boleh menjadi platform pemain-pemain B-23 negara membuktikan tahap permainan mereka, dan siapa tahu mereka mampu diserap dalam skuad utama sekiranya menyinar di kejohanan itu.

Tahun depan, kalendar perlawanan FIFA menjelang Piala Asia 2023 adalah pada 20 hingga 28 Mac 2023 dan 12 hingga 20 Jun 2023.

Kedua-dua tempoh itu dilihat cukup untuk mempersiapkan skuad kebangsaan sebelum menghadapi kejohanan tersebut.

Thailand sebelum ini pernah menyatakan hasrat bagi menghantar skuad B-23 ke kejohanan itu bagi memberi pengalaman dan pendedahan, juga bagi memberi ruang kepada skuad senior fokus kepada kejohanan yang lebih besar.

Namun mereka membuat pusingan U apabila bakal menurunkan skuad utama bagi menghadapi kejohanan serantau itu.

Mungkin Malaysia boleh menjadi pasukan pertama yang memulakan langkah tersebut, dan tidak mustahil ia akan diikuti oleh negara-negara lain.