JAKIM FC ditubuhkan untuk beri mesej Islam bukan anti-sukan, boleh cuba nasib di peringkat lebih tinggi
Selepas dua tahun tidak dianjurkan akibat Covid-19, kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-100 tahun akan membuka tirainya esok melibatkan 16 pasukan melibatkan 14 pasukan negeri dan dua kelab.
Kesemua pasukan akan dipecahkan kepada empat zon membabitkan Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Timur.
Antara kelab yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu adalah kelab bola sepak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia iaitu JAKIM FC yang bakal berentap di Zon Timur bersama-sama Kelantan, Pahang dan Bomba.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Idris Bin Ahmad, penubuhan pasukan itu adalah untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa Islam adalah agama yang menyeluruh dan tidak anti-sukan.
Selain itu, kelab itu juga mahu menggunakan medium sukan untuk berdakwah dengan memakai pakaian yang mengikut syariat dan menonjolkan akhlak baik di atas padang.
Tidak dinafikan bahawa idea tersebut adalah baik dan selepas ini mungkin boleh digerakkan secara lebih serius.
Bermula dengan PERR, selepas ini mungkin JAKIM FC secara berperingkat boleh menyasarkan untuk ke kejohanan yang lebih tinggi bermula di Liga M5.
Liga yang lebih tinggi mempunyai penonton yang lebih ramai, jadi usaha mereka untuk berdakwah dapat disampaikan kepada lebih ramai orang.
Mungkin sebagai individu yang tidak mempunyai banyak pengetahuan dalam bola sepak, Idris boleh meminta nasihat daripada rakannya dari parti sama iaitu presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor cara mengendalikan kelab bola sepak.
Bukan sahaja dari sudut teknikal bola sepak tetapi juga cara untuk mendapatkan publisiti yang dapat membuatkan orang ramai tahu akan kelab JAKIM FC.
Lihat saja bagaimana Sanusi sentiasa mencari peluang untuk muncul di media walaupun tidak berkenaan dengan pasukan beliau.
Mungkin dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada pada Sanusi, Idris mampu membawa JAKIM FC pergi lebih jauh lagi.