Steffi Sidhu belum fikir mahu ceburi bidang kejurulatihan lagi

311

Pemain bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sidhu memberitahu beliau masih lagi mahu meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional dan belum fikir lagi untuk menceburi bidang kejurulatihan.

“Mungkin, kita tak tahu tapi buat masa sekarang ini saya masih mahu main untuk skuad Malaysia. Mungkin bila saya sudah tidak main bola nanti mungkin saya boleh berhijrah ke bidang kejurulatihan pula,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Steffi ditemui pada majlis Pembukaan Rasmi Kedai Merchandise Premium Liverpool FC di komplek membeli-belah Sunway Pyramid yang mana ia turut dihadiri oleh lagenda kelab itu iaitu Sami Hyppia.


Pagi tadi beliau bersama Hyppia telah terlibat dalam satu program klinik bola sepak di Sekolah Kebangsaan USJ 12 di Subang Jaya yang mana beliau dan Hyppia berkongsi pengalaman serta ilmu bola sepak bersama pelajar-pelajar di sekolah berkenaan.

“Ia adalah satu klinik yang beri inspirasi kepada pelajar-pelajar sekolah yang mana kita sedia maklum Sami Hyppia adalah seorang pemain lagenda dan kita dapat lihat semangat pelajar-pelajar ini apabila bertemu dengan lagenda bola sepak dunia.”

Beliau juga berharap agar selepas ini lebih ramai lagenda bola sepak dunia dapat datang ke Malaysia untuk terlibat dalam klinik bola sepak di negara.

Dalam pada itu, Steffi turut menegaskan bahawa pembangunan akar umbi bola sepak wanita sangat penting jika mahu bola sepak wanita negara berkembang dan maju.

“Bagi saya memang perlu ada pembangunan akar umbi untuk bola sepak wanita kerana di sinilah kita melahirkan ramai pemain-pemain wanita berkualiti dan untuk melakukan perkara itu kita perlu pemain ini bermula dari muda. Bagi saya asas bola sepak ini perlu dididik dari kecil lagi.”

Terdahulu, Steffi yang juga merupakan Exco Wanita Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah memberitahu mereka telah mempunyai perancangan jangka masa panjang bagi membantu pembangunan bola sepak wanita negara.

Malah beliau juga memberitahu mereka akan mengadakan satu karnival pada Oktober depan untuk mempromosikan bola sepak wanita kepada orang ramai.