Kami guna 40 pemain dalam Liga Perdana musim ini, gabungan pemain senior dan muda ramuan kejayaan JDT II – Mariano Raul Echeverria

1,829

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Mariano Raul Echeverria menganggap gabungan pemain senior dan muda merupakan kunci kejayaan pasukannya menjuarai Liga Perdana musim ini.

Menurutnya, beliau menggunakan kira-kira 40 pemain dalam saingan liga musim ini dan barisan pemain sering bertukar-tukar setiap minggu.


“Musim ini saya gunakan 40 pemain dan ini adalah perkara normal di JDT II kerana pemain-pemain kami sering bertukar.

Pemain yang berpengalaman dalam pasukan seperti Levy Madinda, Junior Eldstal, Fernando Rodríguez dan Bienvenido Maranon memainkan peranan yang sangat penting, dengan gabungan bersama pemain-pemain muda,”

katanya.

Menurutnya, kejayaan menjuarai Liga Perdana adalah penting buat pasukannya selepas prestasi baik yang ditunjukkan oleh JDT dan JDT III musim ini.

Katanya, kejayaan itu adalah untuk negeri Johor dan juga pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Pemain-pemain sangat teruja dengan kejayaan ini, 2022 adalah tahun yang baik buat JDT.”

JDT II menamatkan saingan liga di tangga pertama liga dengan 42 mata, mendahului Kelantan FC di tangga kedua yang mengumpul 37 mata.