Tinggalkan KL City FC untuk JDT satu keputusan tepat, sukar katakan tidak kepada pasukan terbaik Malaysia – Daniel Ting
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Daniel Ting percaya keputusannya untuk meninggalkan KL City FC dan menyertai kelab itu adalah tepat walaupun ia satu keputusan yang sukar.
Menurutnya, sukar untuk mengatakan tidak kepada pasukan JDT yang dianggap sebagai kelab terbaik di negara ini.
“Apabila saya dapat panggilan daripada JDT saya tak boleh nak katakan tidak kerana saya tahu pasukan ini akan memenangi sesuatu.
Sudah tentu saya ada memori indah bersama KL City dan saya nikmati masa di sana, tetapi saya tidak boleh katakan tidak kepada JDT,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, beliau mahu berusaha dengan lebih baik lagi bagi merebut tempat dalam skuad utama musim depan.
Katanya, beliau tahu sukar untuk menembusi skuad utama kerana persaingan di posisinya juga begitu sengit.
“Apabila saya sertai kelab ini, saya tidak jangka untuk terus bermain untuk skuad utama terus, saya gembira untuk tunggu sehingga mereka memerlukan saya.
Di JDT ada Corbin Ong dan saya tahu sukar untuk ketepikan beliau tetapi jika mereka panggil saya akan sentiasa bersedia.”
Beliau juga tekad untuk menunggu panggilan skuad kebangsaan sekiranya ada peluang.
Katanya, apa yang beliau perlu lakukan sekarang adalah bekerja lebih keras untuk membuktikan kemampuan dirinya.