Siti Nursyafiyah Alia pernah dipandang rendah kerana jantina, rasa tak yakin ketika mula libatkan diri dalam sukan permotoran
Tidak dapat dinafikan, sukan permotoran khususnya di Malaysia sememangnya dikuasai oleh golongan lelaki dan masih ramai wanita yang tidak berminat cuba menceburkan diri dalam sukan tersebut.
Bagi pelumba Malaysian Superbike Championship (MSBK) wanita, Siti Nursyafiyah Alia, beliau mengakui pada awalnya sedikit janggal dan kurang yakin apabila mula menceburkan diri dalam sukan itu sejak 2018 tetapi tetap gigih berbekalkan sokongan orang di sekeliling.
“Sepanjang karier saya semestinya ibu bapa adalah orang yang paling penting memberi sokongan selain daripada jurulatih saya yang banyak memberi tunjuk ajar.
Ketika mula menyertai klinik Cub Prix, agak sukar bagi saya berinteraksi dengan rakan lain kerana saya seorang sahaja perempuan, tetapi saya beranikan juga diri mulakan perbualan dan mereka sangat supportive,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau yang mesra disapa Alia mengakui ada ketika dipandang rendah kerana jantinanya tetapi mengambil positif perkara itu dan tidak menghiraukan kata-kata pihak yang tidak menyokongnya.
Menurut pelajar jurusan perundangan di sebuah universiti swasta itu, adalah penting untuk berdamping dengan orang yang mempunyai minat sama bagi mewujudkan suasana yang positif.
“Jika kita minat sesuatu perkara, kita cuba masuk dalam kelompok yang mempunyai minat yang sama, pasti mereka akan memberi tenaga positif dan menyokong kita.
Macam saya sendiri, saya akan letak tepi saja kata-kata yang tidak memberi kebaikan kepada diri saya dan cuba buktikan sesuatu kepada mereka yang menyokong saya.”
Dalam pada itu, Alia berharap supaya lebih ramai kaum wanita yang menceburkan diri dalam bidang permotoran bukan sahaja sebagai pelumba tetapi sebagai kru di sebalik tabir.
Perkara itu menurutnya, dapat mengetengahkan lagi bakat kaum wanita dalam bidang tersebut dan akan meningkatkan lagi keyakinan buat wanita-wanita lain untuk turut sama menceburkan diri.
Beliau juga amat teruja sekiranya terdapat pasukan permotoran yang dibarisi oleh semua pelumba dan kru wanita pada masa hadapan.