Pemain import Melaka United FC masih belum pasti dapat diturunkan pada tiga perlawanan terakhir Liga Super

675

Pembantu ketua jurulatih Melaka United FC, Mohd Nor Md Derus masih belum dapat memberi kepastian mengenai status pemain import pasukan itu menjelang tiga perlawanan terakhir Liga Super.

Menurutnya, beliau harus melihat kepada situasi semasa terlebih dahulu sebelum memberi komen lebih lanjut mengenai pemain import.


“Saya tak boleh nak beritahu sama ada mereka akan main atau tidak pada tiga perlawanan terakhir, lawan Terengganu FC selepas ini kita lihat dulu situasinya macam mana.

Sudah tentu saya sebagai jurulatih memang mahu turunkan mereka kerana semua pemain itu banyak membantu pasukan,”

katanya.

Pada perlawanan menentang Selangor FC sebentar tadi, Melaka United turun tanpa seorang pun pemain import.

Melaka United tewas besar 5-0 pada perlawanan itu hasil jaringan Mohammad Nor Hakim Hassan, Mukhairi Ajmal, Herlison Caion serta dua jaringan Brendan Gan.

Dalam pada itu, Mohd Nor berkata, barisan kejurulatihan sudah cuba melakukan sedaya upaya dengan pemain-pemain yang ada.

“Hari ini kami dah buat yang termampu dengan situasi yang kami hadapi, sekurang-sekurangnya kami dapat lihat pemain mencuba sedaya upaya.

Mereka juga tunjukkan semangat yang tinggi untuk bermain baki tiga lagi perlawanan akan datang.”

Menurutnya, para pemain juga berhak mendapat pujian kerana mencuba sedaya upaya dengan keadaan pasukan sekarang ini yang berdepan isu tunggakan gaji.