Tan Cheng Hoe beri masa hingga hujung tahun untuk pemain Selangor FC buktikan kemampuan mereka

243

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe memberi tempoh kepada para pemain sehingga hujung tahun ini untuk menunjukkan kemampuan mereka kepada dirinya bagi persiapan untuk saingan musim depan.

Menurutnya, masih terlalu awal untuknya menentukan pemain-pemain utama dalam skuadnya dan beliau akan memberi peluang yang secukupnya kepada setiap pemain.


“Saya harap setiap pemain mampu menunjukkan peningkatan dari segi corak permainan mereka dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya.

Apa yang penting adalah mereka bermain dengan semangat juang yang tinggi dan mempunyai keyakinan dalam setiap perlawanan,”

katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe merasakan masih banyak yang perlu diperbaiki pasukannya walaupun baru sahaja membelasah Melaka United FC 5-0 pada perlawanan pertamanya.

Beliau berkata, sekiranya diberikan masa, beliau yakin para pemain mampu menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

Beliau juga memuji barisan pemain muda Selangor yang menurutnya mempunyai bakat yang besar dan berharap mereka mampu tampil konsisten.

“Saya rasa rata-rata pemain muda mempunyai bakat besar dan sudah tentu mereka perlu diberi dorongan dan keyakinan untuk bergerak ke tahap yang lebih tinggi.

Tetapi banyak lagi yang perlu diperbaiki dan saya harap mereka mampu berikan persembahan yang konsisten dalam setiap perlawanan.”

Cheng Hoe melihat berdasarkan kualiti yang ada pada para pemain, mereka mampu menyerap gaya permainan yang dimahukannya dengan segera.

Beliau berharap para pemain senior mampu memberi tunjuk ajar kepada pemain muda, manakala pemain muda pula mengambil peluang untuk mempelajari sesuatu daripada mereka.