Christophe Gamel masih mahu kekal di Malaysia, yakin mampu beri impak sekiranya diberi masa

979

Bekas ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel menyatakan hasratnya untuk terus kekal di Malaysia kerana merasakan beliau masih belum mempamerkan kebolehan sebenarnya.

Menurutnya, beliau telah banyak belajar pada tahun ini terutama mengenai kelemahannya dan akan memperbaiki perkara itu sekiranya diberi peluang.


“Keutamaan saya adalah untuk terus kekal di Malaysia, musim depan ada 18 pasukan dalam Liga Super jadi saya harap salah satu pasukan akan percaya pada saya. Jika mereka hubungi Sri Pahang dan bertanya tentang saya, mereka akan dapat maklum balas yang bagus.

Saya tahu saya boleh lakukan tugas yang baik di negara ini. Saya juga sukakan suasana di sini, budaya serta rakyatnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau mengakui ada menerima beberapa tawaran dari luar negara namun masih tidak memikirkan untuk keluar daripada Malaysia ketika ini.

Menurutnya, elemen penting yang beliau pertimbangkan apabila memilih kelab seterusnya adalah pembangunan pemain muda, projek dan juga bajet kelab berkenaan.

“Projek kelab adalah penting kerana ada kelab yang hanya mahu bertanding sahaja, saya mahu lihat perancangan terhadap pemain muda.

Anda juga harus pilih pemain berdasarkan bajet yang diberi dan saya juga perlu lihat berapa cepat saya boleh mulakan proses kerana sewaktu di Sri Pahang, saya ambil alih agak lambat dan hanya boleh bekerja dengan apa yang saya ada ketika itu.”

Dalam pada itu, beliau tidak menolak sekiranya terdapat tawaran daripada kelab Liga Perdana yang dinaikkan pangkat musim depan dan bersedia mengambil cabaran tersebut.

Beliau juga berkata lebih mengutamakan posisi ketua jurulatih berbanding di belakang tabir seperti pengarah teknikal kerana beliau masih gemar berada di atas padang melatih pasukan.

“Saya masih lagi mahu menjadi jurulatih tetapi tidak menutup peluang kepada jawatan pengarah teknikal selagi saya tetap boleh melatih pemain kerana saya suka berada di atas padang.”

Menurutnya, ketika ini beliau menghabiskan masanya untuk mengembara dan juga melakukan ‘scouting’ untuk masa hadapan.

Gamel berkata, beliau mempunyai idea bola sepaknya yang tersendiri dan berharap beliau akan diberi masa untuk membuktikannya di kelab seterusnya.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen