Usaha sama harus diberikan kepada bola sepak wanita sekiranya mahu lihat ia meningkat – Christophe Gamel
Bekas ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel berpendapat bahawa usaha yang sama perlu diberikan kepada bola sepak wanita seperti bola sepak lelaki di negara ini sekiranya mahu melihat peningkatan dalam kategori tersebut.
Menurutnya, segala-galanya harus bermula di pihak badan induk iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Anda harus letakkan usaha yang sama terhadap kedua-dua jantina. Untuk wanita ia adalah lebih sukar kerana mereka mempunyai peluang yang lebih terhad.
Bagi saya mereka harus meletakkan sesorang yang mempunyai latar belakang dalam bola sepak wanita untuk mendorong pihak berkuasa mengembangkan pasukan wanita,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Katanya, ia mentaliti pihak bertanggungjawab dalam menguruskan bola sepak wanita harus berubah dan proses tersebut memakan masa.
Beliau mengakui ada melihat perkembangan bola sepak wanita di negara ini dan menyifatkan ia masih di tahap yang rendah.
Katanya, kumpulan pemain yang baik sahaja tidak cukup untuk membawa bola sepak di negara ini pergi lebih jauh tetapi ia harus melibatkan semua pihak termasuklah di peringkat pengurusan dan kejurulatihan.
“Ia adalah penting untuk mewujudkan satu pasukan yang baik dengan pegawai yang bagus, berdasarkan pelan pembangunan yang bagus.
Suasana bola sepak wanita juga perlu berubah kerana contohnya kita lihat dalam satu kejohanan mereka bermain setiap hari tanpa rehat dan ia mendatangkan risiko kecederaan.”
Beliau juga tidak menolak sekiranya mendapat tawaran untuk menegndalikan skuad wanita negara tetapi katanya, beliau perlu mempertimbangkannya berdasarkan projek dan pelan pembangunan yang dirangka.
Menurutnya, tanpa pelan yang baik, sukar untuk meningkatkan tahap bola sepak wanita di negara ini.