Tragedi berdarah di Kanjuruhan mungkin penyebab kejatuhan bola sepak Indonesia

7,661

Semalam, dunia bola sepak digemparkan dengan insiden kematian lebih 120 penyokong yang hadir ke perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang.

Insiden itu dipercayai berlaku akibat ratusan penyokong Arema menyerbu kawasan padang selepas tamat perlawanan selepas tidak berpuas hati dengan kekalahan itu.


Menurut laporan media tempatan, seramai 174 orang terkorban termasuk anggota polis dan kira-kira 180 lagi cedera.

Akibat kecelakaan itu, presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan supaya pihak Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) menghentikan liga tersebut selama seminggu dan melakukan siasatan lanjut.

Dengan insiden yang berlaku ini, ia dilihat bakal memberi kesan yang besar terhadap bola sepak negara itu.

Ia dilihat bakal memberi kesan besar terhadap penganjuran Piala Dunia B-20 yang dijadualkan berlangsung di negara itu tahun depan.

Selain itu, Indonesia yang turut membida untuk menjadi tuan rumah bagib Piala Asia 2023 mungkin mempunyai peluang yang malap selepas insiden tersebut.

Pada tahun 2015, FIFA pernah menggantung Indonesia daripada sebarang aktiviti bola sepak pertelingkahan antara PSSI dan Kementerian Belia dan Sukan negara itu.

Sekiranya FIFA melihat keputusan yang dilakukan oleh Jokowi sebagai salah satu campur tangan oleh kerajaan, Indonesia mungkin bakal berdepan nasib yang sama sekali lagi.

Jika tidak sekalipun, sudah tentu FIFA akan bertindak mendenda PSSI kerana ia merupakan salah satu bencana terburuk dalam sejarah bola sepak dunia.

Selain itu, menurut peraturan keselamatan FIFA fasal 19, penggunaan gas pemedih mata untuk menyuraikan rusuhan penyokong adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Sudah tentu perkara ini turut akan diambil kira oleh FIFA dalam membuat sebarang keputusan berhubung insiden itu.

Ketika ini, bola sepak Indonesia sedang menunjukkan peningkatan yang baik, lebih-lebih lagi di bawah kendalian Shin Tae-yong.

Sekiranya bola sepak negara itu digantung, ia pasti akan memberi kesan terhadap pasukan kebangsaan dan segala usaha pengendali Korea Selatan sepanjang dua tahun lalu akan menjadi sia-sia.

Mungkinkah bola sepak Indonesia terpaksa menekan butang ‘reset’ dan bermula semula dari bawah.

Apa-apa pun keganasan seperti ini tidak seharusnya berlaku dan harus diambil pengajaran oleh seluruh peminat bola sepak dunia.

Bola sepak hanyalah salah satu hiburan dan tidak seharusnya menjadi punca nyawa melayang.