Khalid Samad harap insiden di Indonesia jadi pengajaran, gesa penyokong KL City tidak putus semangat

370

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Tuan Haji Abdul Khalid Samad turut berduka cita dengan kejadian menyayat hati yang telah melanda negara jiran.

Difahamkan sejumlah besar penyokong bola sepak Indonesia didapati meninggal dunia susulan daripada insiden yang berlaku sewaktu pertemuan di antara Arema FC dan Persebaya Surabaya dan berharap agar perkara ini dapat menjadi iktibar kepada penyokong di Malaysia.


“Semoga kejadian di Indonesia menjadi pengajaran buat semua peminat tentang implikasi negatif seperti ini.

Tetapi diharap agar ia tidak mematahkan semangat penyokong KL City untuk terus hadir ke stadium,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, Khalid juga berharap agar para penyokong dapat terus memberikan sokongan kepada pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC yang kini sedang bersiap sedia untuk perlawanan separuh akhir Piala AFC 2022.

Mereka dijadual bertemu wakil dari Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sogdiana pada 5 Oktober ini.

Beliau juga optimis bahawa pasukan The City Boys memiliki potensi untuk terus melangkah jauh dalam kejohanan ini.

“Diharap agar rakyat Malaysia khususnya warga kota dapat sama-sama memberi sokongan kepada pasukan ini.

Kita yakin dengan kemampuan untuk mencapai kejayaan namun memerlukan sokongan dan doa dari semua.”

KL City yang beraksi buat kali pertama pada kejohanan ini terus konsisten mencipta kejutan menerusi kemenangan demi kemenangan yang berjaya dicapai sepanjang kempen Piala AFC tahun ini.  

Juara Piala Malaysia 2021 tersebut kini bergelar sebagai wakil tunggal negara di kejohanan peringkat Asia.

“Mara ke tahap ini adalah sebuah kejayaan yang tiada tolak banding buat KL City.

Layak ke pusingan ke peringkat ini sudah dapat dikira sebagai pencapaian yang cukup hebat.”

Pasukan kendalian Bojan Hodak ini perlu segera menyesuaikan diri setibanya mereka di Uzbekistan bagi membolehkan mereka bersedia dengan segala cabaran yang bakal dihadapi.

Cuaca akan menjadi halangan utama buat pasukan KL City dalam usaha mereka mengekalkan rentak kecemerlangan.

Terdahulu, KL City berjaya melakukan kejutan ke atas wakil India, Mohun Bagan selepas menewaskan pasukan tersebut dengan jaringan 3-1.