Acara permotoran kecil harus diberi lebih perhatian, elakkan orang ramai berlumba di jalan raya – Pelumba MSF

227

Pelumba pasukan JR Speed Suci Muci Racing Team, Niezam Yaacob berpendapat bahawa kejohanan serta acara permotoran yang kecil harus diberi sokongan oleh pelbagai pihak kerana mampu mencungkil lebih banyak bakat-bakat baru dalam sukan permotoran.

Menurutnya, syarikat korporat serta kerajaan harus membuka mata terhadap penganjuran kejohanan kecil kerana ia akan menggalakkan lebih ramai orang berminat untuk berlumba mengikut undang-undang berbanding secara haram di jalan raya.


“Jika mahu lihat pelumba muda pergi ke peringkat antarabangsa dari peringkat awal lagi, kejohanan-kejohanan kecil harus diberi perhatian contohnya seperti kejohanan Malaysia Speed Festival(MSF), turut disertai oleh pelumba yang masih bersekolah.

Selain itu, pasukan kita ada kerjasama dengan Kolej Vokasional Sepang, mereka boleh dapat pendedahan tentang dunia perlumbaan ini untuk karier masa depan mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga berkata, sokongan media juga adalah penting dalam menyemarakkan lagi sambutan kejohanan-kejohanan kecil, yang mampu menarik lebih ramai lagi penaja untuk terlibat.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba dari pasukan yang sama, Muhammad Ataq Mohd Aris berkata, acara kecil dapat memberi pendedahan kepada orang awam tentang sukan permotoran daripada perkara yang asas hinggalah ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya, semua orang boleh menyertai acara-acara kecil tanpa mengira bajet mereka serta tahap kenderaan.

“Ini adalah satu tempat untuk mereka yang mempunyai hobi atau minat dalam sukan permotoran untuk merasa pengalaman, berbanding di jalan raya yang membahayakan nyawa orang.

Walaupun menyertai acara kecil, dari segi keselamatan memang amat dititikberatkan.”

Beliau berharap lebih banyak lagi kejohanan sukan permotoran berskala kecil mampu dianjurkan di negara ini bagi memberi manfaat kepada semua orang yang berminat untuk mencuba, walaupun tidak mempunyai bajet yang besar.