Jika MFL mahu KDA FC buat ‘Guard of Honour’ untuk JDT, kami akan buat – Aidil Sharin Sahak

6,592

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak berkata beliau dan pasukannya tiada masalah untuk melakukan Guard of Honour kepada juara Liga Super musim ini iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) jika diarahkan berbuat demikian oleh Malaysian Football League (MFL).

“Buat masa ini kami belum dapat apa-apa maklumat mengenai perkara ini, tapi jika MFL mahu ia dilakukan, kami akan lakukannya. Kita perlu hormat juara Liga Super. Kami profesional dan akan ikut jika MFL mahu kami lakukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Aidil pada masa sama turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah buat JDT atas kejayaan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan kali berturut-turut.


Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan menjelang aksi tumpuan esok, pengendali dari Singapura itu mengakui tempoh dua hari untuk membuat persiapan menentang JDT adalah sangat singkat untuk menentang gergasi selatan.

“Kita cuma ada dua hari saja untuk buat persiapan menentang JDT yang mana kita sedia maklum JDT adalah pasukan gergasi yang mana mereka adalah juara. Tahniah diucapkan kepada mereka.

Esok sudah pasti akan memberikan aksi terbaik kami dan berharap jika dapat seri ia sudah pun satu keputusan yang baik buat kami. Ya memang kami mahu menang tapi kita tahu ia bukanlah mudah dengan kualiti yang ada pada JDT. Apa-apa pun saya harap pemain akan berikan komitmen tinggi pada perlawanan esok.”

Sementara itu, Aidil memberitahu beliau enggan meletakkan tekanan kepada pemainnya dalam baki saingan Liga Super pada musim ini sebaliknya mahu mereka fokus pada permainan mereka dan berikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

KDA FC akan menentang JDT di Stadium Darul Aman esok (Selasa) sebelum menentang Negeri Sembilan FC pada 7 Oktober sebelum sekali lagi bertemu JDT pada 10 Oktober.

Skuad Sang Kenari akan menamatkan kempen saingan Liga Super mereka di tempat sendiri menentang Terengganu FC pada 15 Oktober.