Lumrah bola sepak ‘people come and go’, ia normal dan paling penting anda perlu jujur – Aidil Sharin Sahak

1,800

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak mengakui situasi orang datang dan pergi adalah lumrah dalam dunia bola sepak dan beliau juga tidak terkecuali kerana baginya tiada apa yang lebih besar daripada kelab itu sendiri.

Aidil berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai satu posting di Instagram Story miliknya baru-baru ini yang dilihat seperti memberi bayangan akan meninggalkan pasukan Sang Kenari pada musim hadapan.


“Saya seorang profesional, ini lah lumrah bola sepak ‘people come and go’, ia adalah perkara normal tapi bagi saya apa yang paling penting adalah anda perlu bersikap jujur kerana saya bekerja untuk majikan dan saya bersikap jujur dengan majikan dan saya mengharapkan perkara sama daripada majikan kerana tiada siapa yang lebih besar daripada kelab.

Kelab akan kekal manakala pemain dan jurulatih akan bersilih ganti, jadi ia bukan perkara baru. Perkara paling penting adalah bagaimana kita mengendalikan perkara ini secara profesional kerana orang akan menghormati anda apabila anda sudah tiada satu hari nanti, orang akan ingat anda bila anda tinggalkan satu hari nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, apa yang bagi penting baginya adalah sikap saling hormat menghormati dan membuat keputusan untuk kebaikan bersama.

Jelasnya lagi, selagi beliau masih mempunyai kontrak bersama pasukan, beliau akan terus memberikan yang terbaik dan bersikap jujur.

Dalam pada itu, pengendali daripada Singapura ini berkata beliau tidak mahu masuk campur dengan situasi ‘perang’ di antara Presiden KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Muhamad Sanusi bin Md Nor dan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris.

“Sukar untuk saya jawab, tapi bagi saya, saya hanya akan jalankan tanggungjawab saya. Dalam dunia bola sepak ni kita tidak boleh kawal perkara luaran seperti apa yang dilakukan oleh Menteri Besar dan apa sekali pun sebabnya.

Bagi saya dan anak buah serta pasukan kami menghormati setiap pihak lawan, kita hormat pemilik kelab tapi di dalam padang sudah pasti akan berjuang sebaik mungkin.”

Sementara itu, Aidil turut mengakui barisan serangannya ‘tempang’ selepas penyerang pinjaman dari JDT, Syafiq Ahmad dipanggil balik ke kelabnya apabila tempoh pinjaman itu ditamatkan awal.

“Saya seorang yang jujur dan saya cakap terus-terang kitab oleh nampak bila Syafiq Ahmad main dalam enam perlawanan beliau telah jaringkan dua gol dan banyak membuat bantuan gol  dan apabila beliau keluar ia menjejaskan persiapan kami.”

Tambahnya lagi, selepas kehilangan Syafiq Ahmad beliau kehilangan seorang lagi pemain serangan iaitu Dennis Buschening akibat kecederaan menyebabkan posisi itu sehingga kini masih tiada pemain yang dapat mengisi kekosongan itu.

Terdahulu peminat dikejutkan apabila JDT bertindak memanggil penyerang berusia 27 tahun itu pulang ke kelab walaupun pada mulanya dipinjamkan kepada KDA FC selama semusim.

Walaupun pihak pengurusan JDT memberi sebab perlukan khidmat Syafiq Ahmad dalam pasukan semula, namun rata-rata peminat bola sepak tanah air merasakan tempoh pinjaman beliau dipendekkan selepas ‘perang’ tercetus di antara Sanusi dan TMJ.

Barisan pertahanan KDA FC mungkin terpaksa berdepan dengan bekas penyerang mereka Syafiq Ahmad apabila mereka bakal bertemu dengan JDT pada perlawanan Liga Super esok di Stadium Darul Aman.