Kemungkinan besar berlaku penggabungan pasukan Liga Super dan Liga M3 musim 2023, keputusan bakal diperoleh seawal minggu hadapan

3,258

Sebelum ini wujud perkhabaran bahawa sebuah pasukan Liga Super yang berpengkalan di Lembah Klang bakal dibubarkan ekoran daripada masalah yang dihadapi.

Namun, kini wujud berita gembira buat peminat pasukan tersebut selepas difahamkan akan ada bantuan daripada pihak pengurusan pasukan Liga M3 yang sedia untuk mengambil alih ataupun melakukan penggabungan bersama pasukan tersebut.


Situasi ini dilihat memberi petanda yang cukup baik buat pasukan yang menggunakan bakat pemain tempatan tersebut agar mereka dapat terus beraksi di dalam saingan Liga Super.

Pasukan Liga M3 yang dikaitkan ini merupakan salah pasukan yang cukup terkenal serta turut dibarisi oleh pemain-pemain berpengalaman dan pernah beraksi di Liga Super sebelum ini. Walaubagaimanapun, mereka terkandas di peringkat suku akhir Liga M3 baru baru ini.

Pada masa yang sama, inisiatif seperti ini dilihat sebagai pilihan yang tepat tatkala kesemua pasukan perlu bersedia menghadapi perubahan saingan liga yang bakal berlaku pada musim hadapan.

Kekuatan dari segi kewangan merupakan elemen utama bagi memastikan kelansungan sesebuah pasukan yang perlu menyediakan pasukan liga simpanan, Piala Belia dan Piala Presiden selain menumpukan sepenuhnya kepada skuad utama semata-mata.

Menurut sumber, setakat ini masih belum ada kata putus yang berjaya dicapai tetapi keputusan proses ini akan diketahui seawal minggu hadapan.

Semoga dengan tindakan yang diambil ini mampu menyelamatkan serta mengelakkan pasukan tersebut daripada terjerumus kepada masalah-masalah yang sering dihadapi oleh pasukan di dalam saingan Liga Malaysia terutamanya berkaitan kewangan.

Gaji merupakan antara masalah utama yang sering membelenggu kebanyakan pasukan di Malaysia.

Sebagai contoh, Melaka United menerima kesan yang cukup besar daripada situasi ini selepas mereka tidak dibenarkan menyertai saingan Piala Malaysia kerana isu tunggakan gaji.

Diharap agar perbincangan yang dilakukan berjalan lancar dan baik bagi membolehkan kedua-dua pihak memperoleh keputusan yang terbaik dan adil kepada semua.