JDT bakal jadi dominasi baru futsal di Malaysia, mampu tarik nama-nama besar

1,553

Selepas mendominasi bola sepak negara dengan kejayaan mengekalkan kejuaraan Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim FC kini bakal mengorak langkah ke sukan futsal sebagai salah sebuah cabang baru.

Perkara ini diumumkan menerusi hantaran di media sosial rasmi pasukan tersebut yang menerangkan terhadap perancangan kelab dalam melebarkan sayap pada musim hadapan.


Sehubungan dengan pengumuman tersebut, difahamkan JDT bakal membentuk sebuah jabatan yang terdiri daripada kakitangan teknikal dan para pemain untuk menjulang pasukan futsal negeri tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.

Perkhabaran ini memberi petanda yang baik kepada seluruh peminat futsal tanah air memandangkan reputasi JDT yang cukup gah di arena bola sepak Asia.

Kehadiran pasukan JDT juga dijangka bakal memecahkan dominasi oleh dua pasukan sebelum ini iaitu Selangor MAC dan Pahang Rangers yang menguasai sukan ini sekian lama.

Dengan adanya penglibatan JDT, kita bakal melihat perubahan yang drastik bagi saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim hadapan seperti mana yang dilakukan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) kepada saingan Liga Malaysia.

Sejak diambil alih oleh TMJ, kita dapat melihat pelbagai revolusi yang telah berjaya dilakukan kepada bola sepak negara sehingga ke hari ini.

Kebanyakan pemain JDT telah menjadi antara nadi utama kejayaan pasukan negara berjaya mengesahkan tempat di Piala Asia tahun hadapan.

Perkara ini juga boleh berlaku kepada sukan futsal negara yang dilihat semakin ketinggalan berbanding negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Ketiga-tiga negara ini bukan sahaja cemerlang di rantau Asia Tenggara malah berjaya melakukan kejutan di peringkat Asia selepas mara ke pusingan suku akhir Piala Asia futsal tahun ini.

Dengan adanya barisan pengurusan dan latihan yang sistematik dan berkualiti yang diterapkan oleh JDT, ia akan sedikit sebanyak membantu meningkatkan kembali kualiti futsal negara.

Selepas wakil negara kecundang di beberapa kejohanan ASEAN seperti Piala AFF sebelum ini, diharap dengan pengumuman ini bakal dapat mencipta transformasi positif dalam tempoh lima tahun ke hadapan.

Dalam pada itu, pengumuman dilakukan oleh pihak JDT ini juga terus menimbulkan tanda tanya di kalangan penggemar futsal terhadap persiapan mereka terutamanya dalam mempersiapkan barisan pemain yang bakal dipilih musim hadapan.

Dengan reputasi gah yang dimiliki oleh pasukan Harimau Selatan, tidak mustahil mereka akan berjaya menarik minat pemain-pemain daripada pasukan seperti Selangor MAC dan Pahang Rangers seperti Khairul Effendy dan Ridzwan Bakri.

Kedua-dua pemain ini merupakan antara pemain yang cukup terkenal di dalam kancah saingan liga futsal di Malaysia di samping pemain lain seperti Awalludin Mat Nawi dan Ekmal Shahrin.

Pada masa yang sama, ia akan jadi lebih menarik sekiranya JDT turut memberi fokus kepada pasukan wanita.

Semestinya ia akan membantu meningkatkan lagi fokus orang ramai terhadap sukan tersebut yang kurang mendapat sambutan.

Malaysia juga memiliki beberapa pemain futsal wanita berkualiti yang dilihat boleh dimanfaatkan oleh pasukan JDT antaranya adalah pemain kebangsaan seperti Intan Serah dan Hanis Azizan.

Kedua-dua pemain ini memiliki pencapaian yang tidak kurang menakjubkan di arena futsal negara samada bersama skuad kebangsaan mahupun kelab masing-masing.

Intan dan Hanis sebelum ini telah berjaya membantu pasukan wanita Melaka United untuk menjuarai saingan MPFL wanita musim ini.