Declan Lambert akui kembarnya Ryan Lambert layak untuk sarung jersi Harimau Malaya
Pemain KL City FC, Declan Lambert mengakui kembarnya yang juga rakan sepasukannya Ryan Lambert layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya selepas mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang pada musim ini.
“Ya saya rasa beliau (Ryan) layak selepas menjaringkan hatrik pada perlawanan menentang Sarawak United FC baru-baru ini. Saya rasa beliau patut diberi peluang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Declan turut mengakui Ryan sebelum ini berasa agak kecewa apabila tidak dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon untuk menyertai skuad negara ke kejohanan King’s Cup Thailand baru-baru ini.
“Beliau berasa agak kecewa ketika itu apabila tidak dapat panggilan tapi ia telah memberinya motivasi untuk bermain dengan lebih baik lagi.”
Ryan berpeluang untuk menyarung jersi kebangsaan pada hujung tahun ini apabila Malaysia akan bersaing dalam kejohanan Piala AFF pada Disember ini.
Jika Pan-gon memanggil Declan dan Ryan, pasangan kembar ini akan menjadi pasangan kembar pertama kacukan dan kembar kedua yang menyarung jersi Harimau Malaya.
Dalam pada itu, pemain berusia 24 tahun itu turut memberitahu yang beliau mahu terus bermain di bawah kendalian Bojan Hodak.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai masa depan bersama KL City berikutan kontraknya bersama The City Boys akan tamat pada hujung musim ini.
“Pada masa ini saya masih belum memikir mengenai perkara itu kerana masih mempunyai kontrak bersama KL.
Saya sangat suka bermain di bawah Bojan Hodak kerana beliau banyak membantu permainan saya jadi saya mahu terus bermain di bawah beliau.”
KL City kini berada di Uzbekistan untuk perlawanan akhir Antara Zon Piala AFC menentang FC Sogdiana Jizzakh esok.