Ayon akui penglibatan JDT bakal bawa impak besar kepada kualiti futsal negara

563

Pemain pasukan Selangor MAC, Khairul Effendy atau lebih dikenali sebagai Ayon nyata teruja dengan kehadiran pasukan futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang bakal bersaing pada musim hadapan.

Terdahulu, pihak pengurusan JDT telah mengeluarkan sebuah kenyataan tentang perancangan mereka dalam mewujudkan sebuah pasukan futsal.


“Ayon boleh katakan memang ada banyak perkara positif daripada penglibatan JDT, dari segi liga, penajaan dan kompetitif.

Sekiranya JDT bersaing dalam MPFL tahun hadapan, tidak mustahil negeri lain akan mengikut jejak langkah yang sama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ayon juga percaya dengan adanya pasukan yang hebat seperti JDT, ia akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pool pemain yang boleh dilahirkan oleh negara.

Kehadiran lebih banyak pasukan akan turut menambahkan persaingan di dalam saingan liga futsal negara yang sebelum ini hanya didominasi sepenuhnya oleh pasukan-pasukan seperti Selangor MAC dan Pahang Rangers.

“Bila ada JDT akan lebih banyak dari segi positif dan akan beri kesan kepada pasukan negara.

Bila ada persaingan yang lebih hebat, lebih ramai bakat baru yang akan dapat dikenalpasti.”

Pada masa yang sama, Ayon selaku pemain utama Selangor MAC juga gembira dengan situasi ini kerana ia akan menjadikan fokus peminat teralih kepada kemasukan pasukan baru yang memiliki reputasi besar.

Ini akan memberi kelebihan kepada para pemain Selangor MAC untuk menjadi lebih tenang dan terlepas daripada harapan tinggi yang diletakkan oleh para peminat.

“Kehadiran JDT juga akan mengurangkan tekanan buat pasukan Selangor MAC kerana ada pasukan baru yang akan dijadikan fokus oleh para peminat.

Ayon tidak sabar untuk melihat outcome pasukan JDT, Ayon ingin bertemu dengan pasukan yang mempunyai reputasi hebat seperti mereka.”

Pada masa yang sama, pemain berusia 35 tahun tersebut yang juga merupakan salah seorang pemain utama skuad kebangsaan turut berkongsi serba sedikit tentang perkembangan pasukan tersebut yang telah sekian lama menyepi.

Sehingga ke hari ini, peminat futsal negara masih tertanya-tanya tentang status semasa ketua jurulatih, Chiew Chun Yong yang dilihat gagal membantu membimbing skuad kebangsaan pada beberapa kejohanan utama sebelum ini.

Ayon merupakan salah seorang pemain skuad kebangsaan yang telah bersaing di kejohanan Piala AFF serta Sukan SEA pada awal tahun ini.

“Buat masa ini, Ayon ada dengar khabar angin akan ada kemasukan jurulatih yang baru.

Tetapi, Ayon tidak tahu siapa yang bakal menggantikan Coach Yong buat masa ini.”

Ayon merupakan salah seorang pemain negara yang telah berjaya berkelana di liga luar negara seperti Indonesia.

Pengalaman berlatih luar dari Malaysia membuatkan Ayon percaya bahawa kemasukan jurulatih luar negara mampu mengubah pencapaian semasa skuad kebangsaan.

Tambahan pula, untuk musim ini sahaja Ayon berpeluang untuk berada di bawah bimbingan dua jurulatih luar negara, Marcelo Serpa dan Carlos Alberto Aranha yang pernah dilantik selaku jurulatih sementara buat Selangor MAC.

“Ayon setuju untuk kemasukan jurulatih luar kerana ia lagi bagus sebab pengetahuan dalam futsal mereka lebih tinggi.

Kemasukan jurulatih dari ranking yang lebih tinggi memang bagus untuk perkembangan futsal kebangsaan.”

Dalam pada itu, pemain tersebut turut berharap agar ada persiapan yang lebih baik selepas ini bagi kembali menjulang pasukan futsal negara di tahap tertinggi.

Sebelum ini, pasukan kita mempamerkan aksi kurang menyakinkan ekoran daripada tempoh persiapan yang singkat dan tidak dirancang dengan baik.

“Kita mungkin mampu untuk bersaing dengan pasukan yang lain daripada rantau ini dengan adanya persiapan yang lebih rapi.

Kalau kita ada latihan yang lebih panjang, kita boleh bersaing dengan pasukan seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam.”

Semoga akan ada sinar yang lebih baik selepas ini buat pasukan futsal negara!