Komitmen tinggi adalah sebab JDT adalah kelab terbaik di Malaysia – Hector Bidoglio

1,815

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menyatakan komitmen tinggi seluruh pemain dan pasukan menjadi faktor mengapa JDT adalah pasukan terbaik di Malaysia ketika ini.

Bidoglio berkata demikian selepas pasukannya berjaya menumpaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 3-1 di Stadium Darul Aman malam tadi.


“Pada perlawanan malam ini telah memperlihatkan kepada semua orang inilah JDT. Walaupun sudah bergelar juara Liga Super beberapa hari lalu, komitmen pemain sentiasa tinggi dan inilah sebab JDT adalah kelab terbaik di Malaysia ketika ini,”

katanya.

Walaupun JDT kehilangan penyerang utama mereka iaitu Bergson da Silva pada penghujung babak pertama, namun anak buah Bidoglio tampil lebih garang pada separuh masa kedua dan berjaya mendapatkan dua gol tambahan sekaligus berjaya mengutip tiga mata penuh di tempat lawan.

“Saya tidak boleh katakan dihadiahkan sepakan penalti mengubah perlawanan atau tidak tetapi dengan apa yang berlaku di atas padang tadi memperlihatkan JDT akan menang perlawanan malam tadi.”

Pengendali dari Argentina itu juga tidak dapat mengulas lanjut mengenai insiden kad merah Bergson kerana beliau dan barisan kejurulatihan perlu melihat rakaman semula.

Dalam pada itu, Bidoglio mengakui pemainnya bergelut untuk mendapat rentak pada separuh masa pertama kerana corak permainan agak tidak teratur.

“Separuh masa pertama agak berterabur dengan kami gagal mencari ruang selain melakukan beberapa kesilapan, namun pada separuh masa kedua kami bermain dengan cara kami dan berjaya menguasai bola selepas menukar sistem permainan kami.”

Sementara itu, Bidoglio memberitahu beliau kini sedang menunggu laporan penuh daripada pegawai perubatan mengenai keadaan pemain pertahanan Shane Lowry yang mengalami kecederaan di bahagian tangan yang memaksanya dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital.

Baki tiga perlawanan Liga Super akan menyaksikan JDT akan menentang Sri Pahang FC pada 7 Oktober ini sebelum melayan kunjungan KDA FC pada 10 Oktober dan perlawanan terakhir menentang Sabah FC pada 15 Oktober ini.