Percaturan ‘rantai’ pemain lawan berjaya bawa KL City FC ke final Piala AFC – Bojan Hodak
Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak memberitahu percaturan untuk merantai pergerakan pemain-pemain lawan membuahkan hasil apabila mereka berjaya tewaskan FC Sogdiana Jizzakh dalam penentuan sepakan penalti sekaligus menempat tiket ke final Piala AFC.
“Tugas saya sebagai jurulatih adalah cuba memastikan pemain dapat menghalang segala serangan dan percubaan yang dilakukan oleh pihak lawan dan ia ternyata membuahkan hasil.
Kami sudah melakukan perkara sama pada perlawanan menentang Viettel FC (Vietnam) dan ATK Mohun Bagan (India) sebelum ini dan hari ini kami buat perkara yang sama. Strategi kami adalah menyerap segala serangan dan melakukan serangan balas pantas,”
katanya.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Uzbekistan semalam, KL City berjaya menyerat perlawanan sehingga ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.
Penjaga gol Kevin Mendoza menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti kedua Sogdiana sekaligus menyaksikan skuad The City Boys menang 5-3.
Dalam pada itu, Hodak nyata gembira dengan kejayaan anak buahnya yang mana beliau berkata ia adalah satu kejayaan untuk bola sepak Malaysia.
“Kami adalah sebuah kelab yang kecil dengan bajet yang kecil tetapi pencapaian ini adalah sesuatu kejayaan yang luar biasa buat bola sepak Malaysia. Kami akan berjuang sehingga ke garisan penamat kerana ia adalah impian kami.”
Pencapaian KL City cukup luar biasa apabila mereka berjaya layak ke perlawanan akhir secara merit dan akan bertemu dengan gergasi dari Oman iaitu Al-Seeb yang akan berlangsung pada 22 Oktober ini di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.