Stadium UTHM terima pengiktirafan World Athletics, jadi contoh terbaik buat yang lain

797

Badan induk olahraga dunia, World Athletics telah memberi pengiktirafan kepada Stadium Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terhadap fasiliti yang mencapai piawaian teknikal yang termaktub di dalam undang-undang organisasi tersebut.

Stadium tersebut menerima sijil ‘‘World Athletics: Class 2 Athletics Facility Certificate’ yang telah diserahkan secara rasmi pada bulan lepas.


Ini merupakan antara pencapaian membanggakan buat negara tatkala fasiliti yang dimiliki di Malaysia mendapat pengiktirafan tertinggi.

Ia juga bakal menjadi contoh terbaik buat universiti lain dalam mengikut jejak langkah yang sama dalam mewujudkan sebuah fasiliti stadium yang baik dan mampu dimanfaatkan oleh orang ramai terutama sekali para pelajar.

Selain UTHM, terdapat beberapa lagi institusi pengajian lain turut mempunyai stadium yang berpotensi besar untuk diangkat.

Antaranya adalah stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memiliki kelengkapan dari segi trek larian yang agak baik.

Selain UPM, Universiti Malaya (UM) juga memiliki fasiliti bertaraf tinggi dan memiliki kemungkinan untuk menerima pengiktirafan yang serupa.

Perlu ada lebih banyak venue berkualiti seperti ini di Malaysia dalam usaha untuk kita melahirkan lebih ramai atlet yang dapat digilap dengan adanya fasiliti latihan yang baik.

Bukan sahaja tertumpu kepada atlet dalam acara trek dan padang, stadium berkelas dunia juga mampu memberi kesan kepada penghasilan pemain bola sepak yang berkualiti.

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) memiliki trek yang cukup gah ditambah kelengkapan sekitar kawasan stadium yang cukup selesa.

Namun, kualiti padang sering menerima kritikan daripada orang ramai tambahan pula sekiranya perlawanan dilakukan di dalam keadaan hujan yang berpanjangan.

Terdahulu, pihak pengurusan SSNBJ menerima pelbagai komen daripada peminat bola sepak negara selepas kualiti padang tersebut teruk terjejas diakibatkan daripada hujan sewaktu aksi kelayakan Piala Asia yang lalu.

Keadaan padang yang buruk tersebut turut mendapat perhatian daripada ketua jurulatih pasukan lawan seperti Bahrain dan Bangladesh yang menganggap ia sebagai salah satu cabaran besar buat pemain mereka.

Pihak bertanggungjawab perlu memainkan peranan untuk memastikan kesemua fasiliti sukan di Malaysia dapat dinaiktaraf dan mampu mendapat pengiktirafan di peringkat tertinggi selepas ini.

Majulah Malaysia!