Kes mahkamah Kuantan FA, Marcerra United jadi pengajaran buat kelab yang ambil mudah isu gaji
Masalah tunggakan gaji boleh dikatakan sudah sebati dalam Liga Malaysia dengan ada saja pasukan yang berdepan masalah tersebut saban musim.
Musim ini saja, beberapa pasukan sudah berdepan dengan isu tunggakan gaji seperti Sarawak United FC dan Melaka United FC.
Sudah banyak hukuman yang dikenakan oleh penganjur Liga Malaysia, Malaysian Football League, malah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pernah masuk campur mendenda pasukan-pasukan terlibat dengan tunggakan gaji.
Namun, ia ibarat mencurah air ke daun keladi kerana masalah itu tetap timbul, dan terdapat juga pasukan sama yang kerap kali menghadapi masalah sama.
Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan bahawa bekas pemilik kelab Kuantan FA dan Marcerra United bergelar Datuk Seri berdepan risiko dipenjarakan akibat gagal menyelesaikan tunggakan gaji.
Beliau didakwa sengaja ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji lebih RM6 juta kepada 47 individu terdiri daripada bekas pemain dan pegawai pasukan kedua-dua pasukan itu.
Tindakan yang diambil oleh kesemua bekas pemain serta pegawai pasukan itu dilihat mampu menjadi satu pengajaran berguna buat kelab-kelab yang liat membayar gaji.
Ia juga mampu menjadi satu pendorong buat para pemain tempatan yang dianayai untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kelab mereka.
Kebiasaannya, pemain dan pegawai yang teraniaya hanya akan mengadu kepada pihak Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) atau Malaysian Football League (MFL), dan ia selalunya hanya akan berakhir dengan pasukan dikenakan denda.
Tindakan mahkamah pastinya sesuatu yang mahu dielakkan mana-mana pasukan, justeru kes ini diharap mampu membuatkan kelab-kelab di Malaysia ini tidak ambil mudah isu gaji.
Dengan Liga Super bakal mempunyai 18 pasukan musim depan, perbelanjaan pasukan-pasukan bertanding juga dijangka bertambah.
Diharapkan peminat-peminat sudah tidak perlu mendengar lagi kes tunggakan gaji berlaku pada musim hadapan.