Rezal Zambery kekal di TRW Kelantan FC musim depan, percaya Nurshamil Ghani layak dipanggil ke skuad kebangsaan
Ketua jurulatih TRW Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya yakin dengan masa depan beliau untuk kekal bersama pasukan pada musim depan.
Namun, kedudukan sebenar beliau di dalam barisan kejurulatihan masih belum dapat ditentukan tatkala masih belum berjaya memenuhi minimum pelesenan yang ditetapkan oleh MFL.
“Belum ada lagi perbincangan tetapi saya rasa pengurusan tertinggi yang akan umumkan.
Saya masih akan menjadi jurulatih untuk musim depan cuma mungkin akan ada ketua jurulatih yang lain kerana masalah pelesesenan mengikut kepada kriteria MFL,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada masa yang sama, beliau percaya dengan kebolehan anak buahnya, Nurshamil Ghani untuk diberi peluang bersama pasukan kebangsaan.
Penyerang tersebut berjaya mengulangi pencapaiannya sebelum ini untuk menjadi penjaring terbanyak tempatan di dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Shamil berkongsi rekod tersebut bersama pemain muda Johor Darul Ta’zim FC, Daryl Sham dengan sembilan jaringan.
“Sebagai etika jurulatih saya tidak boleh mencampuri keputusan jurulatih yang lain, dia ada kriteria sendiri untuk memilih pemain.
Tetapi bagi saya sebagai jurulatih Kelantan FC, tidak salah untuk beri peluang kepada Shamil kerana Liga Perdana bukannya sebuah liga yang tidak kompetitif.”
Meskipun gagal mengekalkan momentum kecemerlangan sehingga ke penghujung musim, Rezal tetap berpuas hati dengan pencapaian yang dipamerkan oleh para pemainnya.
Aksi kurang konsisten pasukan Kelantan FC pada penghujung liga membolehkan JDT FC II memintas mereka pada minit akhir untuk dinobatkan selaku juara Liga Perdana musim ini.
“Walaupun kita menduduki tangga kedua, bagi saya tetap berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan oleh pemain.
Kita berjaya menyaingi mata juara Liga Perdana musim lepas walaupun dengan kekurangan perlawanan, ini suatu perkara yang boleh dibanggakan.”
Rezal selepas ini perlu terus mempersiapkan barisan pemainnya bagi mengharungi saingan Piala Malaysia yang bakal bermula tidak lama lagi.
Menerusi undian yang telah dilakukan, TRW Kelantan FC bakal bertemu dengan pasukan yang berada di tangga ke-10 saingan Liga Super.