Provokasi hanya akan rosakkan bola sepak negara, dilihat sebagai sukan yang tidak selamat – Rezal Zambery

133

Ketua jurulatih TRW Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya menggesa agar para peminat bola sepak lebih menjaga tingkah laku sewaktu berada di dalam stadium.

Hal ini bagi mengelakkan situasi negatif daripada berlaku seperti yang terjadi di Liga Indonesia baru-baru ini.


Provokasi dan tindakan melampau dari segelintir penyokong menyebabkan kehilangan banyak nyawa yang terkorban sewaktu perlawanan.

“Fanatik tiada masalah tapi kelakuan perlu dijaga supaya bola sepak kita tidak dilihat sebagai permainan yang ganas dan boleh menyebabkan kematian serta rusuhan.

Kita tidak mahu tanam perasaan ini kepada anak-anak kita yang baru mengenal bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga percaya bahawa perkara ini tidak dilakukan oleh kesemua pihak hanya melibatkan sebilangan kecil kumpulan peminat yang melakukan onar.

Sebagai seorang bekas pemain, beliau sudah semestinya sedia maklum tentang budaya penyokong bola sepak di Malaysia.

“Setakat ini, saya lihat kumpulan yang mencetuskan provokasi ini bukan terdiri daripada peminat setia.

Mereka memasang niat sebelum masuk ke stadium untuk melakukan provokasi tersebut.”

Terdahulu, pasukan kendaliannya turut menghadapi masalah ini sewaktu berlakunya pergaduhan yang tercetus pada perlawanan menentang Perak FC sebelum ini.

Beliau berharap agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi kerana hanya akan menjejaskan suasana bola sepak semata-mata.

“Jangan masuk ke stadium semata-mata untuk membuat kacau.

Di Malaysia masih belum kehilangan nyawa, tetapi kalau perkara ini tidak dibendung ia akan beri kerugian kepada ramai pihak.”

Para peminat seharusnya mengambil iktibar dari kejadian-kejadian yang pernah berlaku sebelum ini di liga luar negara.

Penggantungan merupakan antara salah satu hukuman berat yang bakal dikenakan sekiranya pihak Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenalpasti sebarang salah laku.

“Kalau liga digantung, macam-macam kerugian yang bakal kita hadapi.

Nasihat saya, tidak perlu kacau pasukan orang lain dan lebih menikmati perlawanan.”