Memang rasa nak balik bila tahu rakan baik ‘pergi’, tetapi dia pasti gembira saya dapat bantu KL City FC ke ‘final’ – Kenny Pallraj
Pemain KL City FC, Kenny Pallraj mendedikasikan mara ke perlawanan akhir Piala AFC kepada rakan karibnyanya yang meninggal dunia ketika beliau dalam perjalanan ke Uzbekistan.
Menurutnya, beliau berasa kecewa tidak dapat memberikan penghormatan terakhir buat rakannya tetapi redha dengan pemergiaannya.
“Saya dapat berita itu kami sedang transit di Seoul dan memang sukar untuk saya terima perkara itu kerana dia merupakan rakan karib saya sejak dari kecil, kami bersekolah di tempat sama, sering bermain bola bersama-sama dan banyak lagi kenangan lain.
Memang ada rasa nak balik tetapi saya tahu dia akan lebih gembira kalau saya dapat berikan kemenangan buat pasukan kerana dia juga bercita-cita untuk menjadi seorang pemain bola sepak,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukannya yang membantunya melalui saat duka itu dan memberinya kekuatan untuk beraksi pada perlawanan itu.
Dalam pada itu, beliau tidak kisah sama ada perlawanan itu dilangsungkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur atau Stadium Nasional Bukit Jalil seperti yang diharapkan ramai peminat bola sepak tempatan.
“Bagi saya bermain di mana-mana stadium pun sama saja, yang penting adalah persembahan kami di atas padang.
Saya yakin di mana-mana saja kami akan berikan yang terbaik.”
Menurutnya, beliau memasang impian untuk menjulang trofi tersebut dan percaya perkara itu tidak mustahil walaupun cabarannya besar.
Katanya, walaupun tiada siapa yang meletakkah harapan kepada mereka untuk mara sehingga perlawanan akhir, mereka berjaya membuktikan kemampuan mereka.