Liew Daren anggap perbandingan dua zaman sesuatu yang tidak wajar, percaya Zii Jia mampu bangkit

254

Pemain perseorangan Puchong United Badminton Club (PUBC), Liew Daren berharap agar peminat tidak terlalu membandingkan pencapaian pemain-pemain badminton masa kini dengan kejayaan legenda negara yang pernah beraksi sebelum ini.

Untuk membandingkan pemain di era berbeza adalah suatu tindakan yang kurang wajar memandangkan corak permainan sudah berbeza.


“Saya tiada komen tetapi kerana ia perbandingan yang agak tidak wajar.

Takkan nak bandingkan era 60an dan bandingkan dengan sekarang, sudah lain zaman jadi tidak boleh banding perkara begini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Darren yang kini berlatih bersama pemain No. 1 Malaysia, Lee Zii Jia akan turut bersama pemain tersebut berangkat ke Denmark bagi menjalankan latihan bersama juara dunia, Viktor Axelsen.

Latihan ini dilihat akan memberi kelebihan besar kepada kedua-dua wakil negara ini untuk terus mempertingkatkan kualiti permainan mereka dalam usaha untuk kembali mendominasi saingan acara perseorangan lelaki.

“Kita akan pergi ke Denmark, pada hari Isnin saya akan berangkat ke Denmark bersama-sama.”

Tambahan pula, pemain berusia 35 tahun tersebut masih memasang impian untuk memperbaiki aksinya selepas ini di peringkat antarabangsa.

Tidak mustahil untuk beliau kembali mendapatkan rentak dan dapat menempah tempat ke temasya Sukan Olimpik 2024.

“Sasaran seterusnya untuk saya memang nak perbaiki lagi ranking buat masa ini.

Matlamat terakhir saya adalah untuk layak ke Sukan Olimpik kerana tidak pernah berjaya layak ke kejohanan tersebut.”

Pada masa yang sama, Daren juga percaya bahawa rakannya, Zii Jia tidak akan berhadapan masalah besar untuk kembali menggegarkan arena badminton dunia.

Zii Jia perlu terus memastikan agar dirinya berada di tahap terbaik untuk memastikan agar tiada masalah untuknya mencapai tahap terbaik.

“Untuk saya memang yakin beliau akan berjaya capai tahap terbaik dan mampu atasi Axelsen, cuma harap tiada kecederaan yang akan menjadi penghalang dan ganggu prestasi dia.

Harap lepas ini tiada kecederaan dan semua berjalan dengan lancar.”

Daren gagal membantu pasukannya untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Malaysia Purple League semalam selepas mereka tewas di tangan Ampang Jaya Badminton Club.

Daren selepas ini akan bertanding di kejohanan Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.